Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu rasuah 1MDB Najib beri kesan kepada akar umbi Umno'

Ketua Penerangan Umno Kedah Suraya Yaacob menegaskan parti itu tidak boleh mengambil mudah isu-isu besar yang berlaku di peringkat nasional yang dilihat memberi kesan sokongan dan pengaruh hingga ke peringkat akar umbi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Demikian penegasan dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu ketika ditanya apakah pengajaran paling utama yang patut dijadikan iktibar susulan kekalahan BN pada PRU lalu.

Sebelum ini katanya, dalam menangani isu-isu besar, perkara itu hanya bergantung kepada penjelasan pimpinan pusat dan berharap kepada saluran media arus perdana.

"Perkara yang paling besar kita belajar bahawa kita tak boleh ambil enteng isu-isu nasional, isu utama seperti isu (skandal) 1MDB, isu (dakwaan terhadap) Najib Razak dan lain-lain. Itu perkara yang depa (pimpinan negeri) kata tak apalah nanti pimpinan pusat akan selesaikan.

"Sebenarnya ia sampai (mempengaruhi) akar umbi dan mengakibatkan kekalahan. Kalau kita tak beri penjelasan dengan baik daripada awal, ia memang akan memberi kesan, itu pengajaran paling hebatlah yang kita akui," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Sebagai rekod antara isu utama dikaitkan sebagai punca kerajaan BN yang ketika itu diterajui Najib tumbang pada PRU ke-14 adalah isu penyelewengan 1MDB dan skandal SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebagai ganti lima tahun tambahan dalam penjara.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Selain itu Najib yang juga bekas perdana menteri kini dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Sementara itu Suraya berkata, penjelasan isu-isu utama perlu disampaikan jentera penerangan ke peringkat akar umbi malah kebergantungan kepada media tidak memadai.

"Penjelasan perlu dibuat di peringkat bawah, perlu sampai, dan kita tak ada keupayaan menyampaikan itu. Dulu kita bergantung kepada surat khabar, tetapi sebenarnya orang tak baca surat khabar pun.

"Dulu kita ingat surat khabar atau media kerajaan itu dah okay, tetapi sebenarnya tidak. Siapa yang baca surat khabar? itu pun perlu difahami bahawa perbezaan cara untuk sampaikan maklumat," ujarnya yang juga exco kerajaan negeri Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS