Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan setuju ganti hukuman mati mandatori untuk kesalahan dadah
Diterbitkan:  Sep 13, 2022 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Kerajaan setuju untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman lain bagi 23 kesalahan, termasuk satu kesalahan berkaitan dadah yang pada masa ini membawa hukuman mati mandatori.

Kerajaan juga setuju untuk melaksanakan moratorium terhadap hukuman mati melibatkan 1,337 banduan.

Perkara ini diputuskan dalam dua mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 6 dan 13 September.

Menurut Wan Junaidi, satu memorandum akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dipertimbang dan diluluskan sebelum pindaan terhadap undang-undang terlibat dibentangkan untuk bacaan pertama dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 Oktober dan bacaan kedua pada sidang 22 November ini.

"Kerajaan juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama wakil ahli Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membentangkan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

"Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa komited untuk memperjuangkan undang-undang yang lebih adil dan penuh belas kasihan dalam isu sebatan serta pelaksanaan hukuman mati," kata Wan Junaidi dalam kenyataan hari ini.

Antara undang-undang yang perlu dipinda adalah Akta Dadah Berbahaya. Kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B akta itu membawa hukuman mati mandatori.

Seksyen itu juga menyatakan sesiapa yang memiliki dadah terlarang melebihi had berat tertentu secara automatik dianggap mengedar dadah tersebut.

Isu hukuman mati menjadi perdebatan terutama melibatkan kes ganja.

Dalam sekurang-kurangnya satu kes berprofil tinggi, seorang pesakit barah yang didakwa kerana memiliki ganja melebihi had berat tertentu dan dianggap mengedarnya, berkata dia menggunakan bahan itu untuk perubatan.

Kajian juga mendapati tiada bukti menunjukkan hukuman mati secara berkesan mencegah penjualan dadah, menurut Harm Reduction International, sebuah NGO yang menggesa ke arah mengurangkan impak negatif dasar berkaitan dadah.

"Malah, menurut anggaran yang ada, pasaran dadah terus berkembang di seluruh dunia walaupun undang-undang di hampir semua negara berasaskan pendekatan punitif," kata NGO itu.

Pada 2018, sejumlah 120 negara mengundi untuk menyokong resolusi pelaksanaan moratorium terhadap hukuman mati ketika perhimpunan agung PBB ke-73.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS