Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi mengaku buat 'dakwaan palsu' pada Adun Gombak Setia

Seorang saksi dalam perbicaraan kes rogol membabitkan Zulfahimin Mahdzir iaitu pembantu Adun Gombak Setia, Mohd Hilman Idham, hari ini menarik balik dakwaannya yang mengaitkan ahli politik terbabit berperanan "merancang" kejadian rogol selepas majlis hari jadi yang dianjurkannya untuk pengadu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela tertuduh, Chris Kooi, saksi kesembilan pendakwaan, Nur Farihatul Mardziah Mohd Fisol memberitahu mahkamah dia membuat dakwaan palsu ke atas Hilman dalam siri mesej teks kepada pengadu pada 6 Jan 2021 iaitu kira-kira sebulan selepas kejadian didakwa rogol itu berlaku di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur.

Nur Farihatul, yang disebut sebagai Mai dalam keterangan sebelum ini, juga mendakwa dia "diprovokasi" sehingga marah oleh pengadu yang menyebabkan dia membuat dakwaan palsu tersebut.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama pengadu untuk melindungi identitinya.

Kooi: Mesej you kata Hilman setting-up...ada bukti?

Nur Farihatul: Tidak.

Kooi: (Jadi) kenapa hantar mesej?

Nur Farihatul: Sebab (pengadu) provoke saya, saya marah... ketika itu saya sedang mabuk.

Apabila peguam terbabit mencadangkan bahawa dakwaan Hilman mempersiapkan kejadian rogol itu sebagai kenyataan palsu daripada Nur Farihatul, saksi terbabit berkata: "Ya, palsu.”

Wanita berusia 31 tahun itu juga berkata dia pada mulanya menghantar mesej teks kepada pengadu hanya untuk bertanya mengapa dia mengikuti teman lelakinya di Instagram dan begitu juga sebaliknya.

Pertuduhan terhadap Zulfahimin dibuat susulan keputusan pengadu pada Jan tahun lepas untuk mengemukakan semula laporan polis terdahulu yang dibuatnya pada 5 Dis 2020 namun ditarik balik tiga hari kemudian.

Laporan tersebut dibuat empat jam selepas insiden rogol berkenaan didakwa berlaku.

Tidur dalam keadaan baik

Pengadu pada masa itu berkata dia mengemukakan semula laporan polis untuk turut mengaitkan Hilman antara lain kerana dia dimaklumkan oleh rakan-rakan yang hadir di parti tersebut tentang peranan ahli politik terbabit untuk "merancang" kejadian bilik tidur itu.

Pengadu, dalam keterangannya sendiri sebagai saksi keempat, menuduh Nur Farihatul bersubahat dengan Hilman apabila mereka keluar dari hotel bersama-sama dan meninggalkan dia di atas katil dalam keadaan mabuk di tempat kejadian yang didakwa kejadian rogol berlaku.

Dalam keterangannya hari ini, Nur Farihatul menafikan dakwaan konspirasi itu, sebaliknya berkata seorang lagi rakannya bernama "Rina" mencadangkan mereka menempah bilik hotel untuk pengadu yang mabuk dan muntah dan terkena tertuduh di ruang karaoke.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Zilfinaz Abbas, Nur Farihatul mengesahkan siri lapan imej dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu menunjukkan keenam-enam mereka berjalan menuju ke bilik tidur di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur.

Menurut Nur Farihatul, Hilman membantu pengadu manakala dia dan Rina berjalan di belakang mereka, manakala Zulfahimin berada di depan untuk membuka pintu bilik.

Saksi terbabit juga mengenal pasti orang keenam sebagai lelaki bernama "Adi" yang dikatakan seorang lagi rakan Hilman.

Nur Farihatul dalam keterangan saksinya berkata dia keluar dari bilik hotel itu selepas Rina, Hilman dan Zulfahimin, manakala Adi merupakan individu terakhir meninggalkan ruang berkenaan.

"Saya melihat pengadu tidur di atas katil dalam keadaan baik, berpakaian lengkap [...] Saya tidak nampak sesiapa pun di atas katil bersamanya," katanya.

Semasa pemeriksaan balas, bekas kakitangan syarikat penerbangan itu bagaimanapun bersetuju dengan cadangan bahawa dia boleh tersilap tentang siapa lagi yang ditinggalkan di bilik hotel kerana dia juga mabuk.

Pada 7 Sept lepas, Zulfahimin dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Prosiding di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Norhasniah Abdul Razak, bersambung pada 20 Okt ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS