Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy: Ubat Najib formula sama, bentuk saja beza

Ubat tekanan darah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak tidak ditukar baru-baru ini dan sebaliknya dia diberi ubat berbentuk generik oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibuat daripada formula yang sama seperti ubat yang diambilnya sebelum ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa kenyataan yang mendakwa ubatnya telah ditukar tidak menunjukkan gambaran penuh.

“Dia pernah membeli ubat dari hospital swasta. Apabila dia dimasukkan ke HKL, kami beri ubat yang hospital kerajaan bagi.

“Ubatnya sama, formulanya sama. Bentuknya hanya generik,” kata Ahli Parlimen Rembau itu.

Khairy menegaskan Najib berada dalam keadaan stabil dan akan kekal di HKL walaupun ada khabar angin mengatakan dia mungkin akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Malah bekas perdana menteri itu akan menjalani satu lagi pusingan ujian berikutan dakwaan bahawa dia mengalami ulser perut dan tekanan darah tinggi.

"Najib nampaknya berada dalam keadaan memuaskan untuk dihantar pulang, dan doktornya mengarahkan satu ujian tambahan bagi tujuan menjelaskan keadaannya," kata Khairy sambil menegaskan bekas perdana menteri itu sedang diberi rawatan sebaik mungkin.

Khairy berkata dakwaan bahawa ubat itu telah ditukar memberi gambaran seolah-olah ia adalah ubat yang sama sekali berbeza.

Najib - yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun - dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin, 4 Sept kerana sakit berkaitan perut.

Anak perempuannya Nooryana Najwa mendakwa bahawa skop pada hari Sabtu menemui ulser perut.

Katanya, biopsi yang dilakukan kemudian juga mendapati terdapat sedikit pendarahan dan ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.

Nooryana mendakwa bahawa Najib telah meminta untuk dimasukkan wad tetapi hospital sebaliknya membenarkannya keluar.

Dia juga mendakwa bahawa pihak hospital memberinya ubat yang berbeza daripada yang biasa digunakannya sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS