GLOBAL | Raja Britain Raja Charles III menyuarakan rasa "tanggungjawab yang berat" perlu dipikul dan berikrar untuk mencontohi mendiang bondanya, Ratu Elizabeth II, dalam titah pertamanya di Dewan Westminster pada Isnin.
"Ketika beta berdiri di hadapan semua pada hari ini, beta rasai tanggungjawab menyelubungi, dan mengingatkan kita tentang tradisi penting yang perlu digalas di dewan yang mulia ini, serta ahli-ahli di kedua-dua dewan terus mengabdikan diri mengutamakan negara berbanding komitmen peribadi untuk kebaikan kita semua," katanya kepada dewan perwakilan House of Commons dan House of Lords di Dewan Westminster, lapor Xinhua.
Raja Charles III menduduki takhta selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II, yang berusia 96 tahun, pada Khamis lepas.
Raja Charles III secara rasmi diisytiharkan sebagai raja baru Britain pada mesyuarat Acession Council di Istana St James pada Sabtu.
"Ketika masih muda, mendiang Ratu berikrar untuk berkhidmat kepada negara dan rakyatnya dan mengekalkan prinsip kerajaan berperlembagaan yang menjadi nadi negara kita.
“Ratu berpegang teguh terhadap ikrar ini dengan pengabdian yang tiada tandingannya.
"Baginda ratu telah menunjukkan contoh teladan yang baik, dan beta bertekad untuk menuruti langkahnya dengan setia," titah Raja Charles.
Raja Charles III akan berangkat ke Edinburgh bagi mengetuai perarakan mengiringi keranda Ratu ke Katedral St Giles untuk istiadat pemakaman pada hari itu.
Pemakaman negara untuk Ratu Elizabeth akan berlangsung di Westminster Abbey pada 19 Sept, menurut Istana Buckingham.
- Bernama