Cabaran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada MCA Bahagian Bera untuk merampas kerusi dewan undangan negeri (Dun) Triang yang menjadi kubu kuat DAP sejak 1990 mendapat reaksi segera daripada pimpinan dan jentera MCA bahagian.
Pengerusi MCA Bahagian Bera, Teh Kim Seng berkata, sudah sampai masanya kerusi DUN itu diberikan kepada MCA kerana selama ini kawasan terbabit ditandingi calon daripada Gerakan.
Sebelum ini, Gerakan adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) dan mereka mengumumkan untuk bersama Perikatan Nasional (PN) pada Februari tahun lalu.
Kim Seng memberitahu, semua jentera MCA bahagian sudah bersedia untuk menyahut cabaran Ismail Sabri bagi memastikan kerusi DUN Triang menjadi milik BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
"Kita sudah membuat persiapan dari awal lagi, jentera Pemuda, Wanita dan semua ahli MCA selalu turun padang bagi melihat perkembangan di kawasan Triang.
"Kita ada enam pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Triang dan jentera MCA dibantu Umno dan MIC dalam BN sudah membuat kerja, kaji selidik dan 'trend' pengundi di situ.
"Secara tidak langsung, kita percaya ada peluang untuk menang di Triang kalau kita tengok kepada sikap pengundi selepas pilihan raya umum yang lalu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, Pahang, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri ketika berucap dalam satu majlis di Bera, Pahang, mencabar MCA untuk membuktikan bahawa parti itu mempunyai pengaruh dan boleh memenangi kerusi Dun Triang dalam PRU15.
"Kerusi Dun Triang yang selama ini MCA minta dari dulu, (tapi) Gerakan bertanding dan MCA tak puas hati kerana ahli mereka lebih ramai di situ.
"Sekarang kerusi ini diberikan kepada MCA dan MCA kena buktikan mereka boleh menang bila diberikan kerusi.
"Ini adalah cabaran kepada MCA dan kita semua kena sama-sama bantu rampas Dun Triang yang semua orang cakap akan kekal kepada DAP," katanya.
Untuk rekod, kerusi DUN Triang dikuasai DAP sejak tahun 1990 melalui Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah sebelum dia menyerahkan kerusi itu kepada anaknya, Leong Yu Man pada PRU13.
Berdasarkan senarai jumlah pengundi di DUN Triang pada PRU14, terdapat seramai 11,222 pengundi berdaftar dalam kawasan Dun berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon MCA untuk kerusi DUN Triang, Kim Seng menjelaskan keputusan akhir berkaitan siapa calon sesuai masih belum dibuat.
"Setakat ini ada beberapa nama dibincangkan, tapi belum ada keputusan dan kita perlu tengok faktor seperti pengaruh dimiliki setiap nama (calon) dicadangkan itu.
"Keputusan mengenai calon akan dibuat oleh Pengerusi MCA Pahang, Hoh Khai Mun dan Pengerusi MCA Pusat, Wee Ka Siong, jadi kita tunggu dulu bab siapa yang akan jadi calon," katanya.