Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah
Diterbitkan:  Sep 12, 2022 5:02 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah telah menarik balik darjah kebesaran negeri yang dianugerahkan kepada Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Pembatalan itu berkuat kuasa hari ini, selepas pasangan itu disabitkan kesalahan di mahkamah.

Kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Haris Kasim menyebut penyingkiran darjah kebesaran itu selaras dengan hak prerogatif sultan untuk berbuat demikian di bawah undang-undang tubuh negeri dan statut mengenai gelaran.

Sultan Selangor sebelum ini telah menggantung gelaran untuk Najib dan Rosmah pada 2019, sementara menunggu keputusan kes mahkamah mereka.

"Beliau (Najib) telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," kata Haris melalui kenyataan Selangor Royal Office.

Sementara itu, Rosmah dianugerahkan SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

“Beliau (Rosmah) telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

“Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," kata kenyataan itu lagi.

Pasangan itu juga telah dilucutkan gelaran mereka di Negeri Sembilan pada 2018.

Bagaimanapun, pasangan itu masih mempunyai banyak gelaran Datuk Seri dari negeri lain.

Najib mempunyai darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak. Rosmah mempunyai gelaran dari Pahang, Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Seri atau yang setaraf dengannya.

Selain Najib dan Rosmah, Sultan Sharafuddin turut membatalkan gelaran daripada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman.

Arif (gambar, atas) dianugerahkan anugerah Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) pada 2005 yang membawa gelaran Datuk.

"Beliau (Arif) telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," maklum kenyataan itu lagi.

Semakan ke atas direktori penerima anugerah kerajaan menunjukkan Arif tidak mempunyai darjah kebesaran lain yang membawa gelaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS