Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis sahkan juruterbang helikopter ditemui mati
Diterbitkan:  Sep 12, 2022 9:38 AM
Dikemaskini: 7:52 AM

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan bahawa juruterbang helikopter yang terbabit dalam nahas di Bidor, Perak semalam ditemui mati di lokasi kejadian.

Mohd Yusri pada sidang media pagi ini memberitahu serpihan helikopter milik persendirian itu dikesan dari udara oleh sepasukan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira 9.30 pagi hari ini.

“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini.

“Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

“Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

Menurutnya, juru terbang itu dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Yusri berkata juruterbang itu telah dikenal pasti sebagai Tsz Kin Richard Chan, warga Hong Kong berusia 58 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Malaysia.

Dia menerbangkan Eurocopter EC120B dari Subang ke Ipoh apabila terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong menerusi Facebook berkata beliau dimaklumkan oleh CAAM bahawa juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor jam 8.20 pagi ini.

Dia turut merakamkan setinggi penghargaan kepada pasukan TUDM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat itu.

Mempertahankan kenyataannya, Wee dalam satu hantaran berasingan pada jam 12.15 tengah hari berkata bahawa laporan yang diterimanya menyatakan bahawa juruterbang itu masih hidup ketika ditemui.

“Namun mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

“Petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada jam 8:18 pagi. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut,” katanya.

Menteri itu berkata, pihak berkuasa termasuk CAAM dan SAR sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian.

Semalam, media melaporkan, sebuah helikopter jenis Eurocopter dan juruterbangnya dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari tadi.

Helikopter milik syarikat swasta itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubunganpada jam 12.16 tengah hari.

Sementara itu, Bernama memetik Mohd Yusri sebagai berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS