Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem radar rekod helikopter hilang mendadak dalam masa kurang seminit
Diterbitkan:  Sep 11, 2022 7:40 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Sistem radar Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter membawa seorang juruterbang yang terputus hubungan sebelum dilaporkan hilang di kawasan hutan sekitar Bidor hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Chester Voo berkata pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang walau bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat.

"Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada satu minit.

"Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC telah segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia kini berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

CAAM mengesahkan bahawa sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B, pendaftaran N409HH yang dikendalikan oleh Heli Outpost Sdn Bhd gagal dihubungi oleh KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari tadi.

Juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan untuk mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Tinjauan Bernama mendapati pusat operasi pasukan SAR dibuka di Masjid Langkap dan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri turut menghadiri taklimat pencarian di Balai Polis Bidor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS