Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH Selangor masih runding empat kerusi DUN
Diterbitkan:  Sep 11, 2022 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Pakatan Harapan (PH) Selangor belum selesai mengadakan rundingan pembahagian di empat kerusi DUN dan dijangka akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini dalam persediaan menghadapi PRU ke-15.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sehingga kini rundingan kerusi antara parti dalam gabungan itu hampir selesai kecuali membabitkan empat kerusi yang disandang Bersatu masih dalam perbincangan.

"Untuk kita yang penting pembahagian kerusi dah hampir selesai. Tinggal kurang daripada empat kerusi yang perlu dibincangkan di peringkat DUN, (kerusi) parlimen kita dah selesai," katanya yang juga pengerusi PKR Selangor kepada media selepas melancarkan jentera pilihan raya PH Shah Alam, hari ini.

Sebagai rekod Bersatu merupakan sebahagian daripada PH yang bertanding di sembilan kerusi DUN dan tiga parlimen pada PRU ke-14 lalu dan menang di enam kerusi DUN dan satu parlimen.

Daripada enam kerusi DUN yang dimenangi, Bersatu kehilangan tiga kerusi selepas penyandangnya menyertai Pejuang yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, sekurang-kurangnya dua parti dalam PH masing-masing mengintai baki kerusi.

Katanya perbincangan masih diteruskan dan ia merupakan perkara biasa.

"Saya yakin kita boleh menyelesaikan perbincangan sebelum akhir September atau awal Oktober," katanya.

Mengenai pemilihan calon pula Amirudin berkata pertimbangan akan diberikan kepada penyandang selain memberi laluan kepada muka baru.

“Tetapi ia tertakluk kepada jawatankuasa calon parti dan akhirnya melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim," katanya yang juga naib presiden PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS