Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda sedia adakan pertemuan rasmi dengan PH
Diterbitkan:  Sep 11, 2022 2:17 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bersedia mengadakan pertemuan secara rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) dan menjawab persoalan yang timbul daripada hasrat parti itu untuk menyertai gabungan tersebut.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, komitmen Muda adalah untuk memastikan hubungan baru itu dapat terus berkembang, bukan sahaja bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), malah dalam perjuangan masa hadapan

"Di sebalik semua rekod bekerja Muda dan PH, saya tetap memahami setiap kritikan dan rasa ragu-ragu dari rakan Pakatan Harapan.

"Lumrah membina sebuah gabungan bersama – pasti ada banyak persoalan.

"Sebab itu saya dan pimpinan Muda bersedia untuk adakan pertemuan rasmi bersama Pakatan Harapan untuk kita leraikan setiap hal bersama-sama," katanya dalam kenyataan.

Adun Puteri Wangsa itu berkata, sejak terlibat dalam politik dia banyak belajar dan bekerjasama dengan pimpinan PH, terutama ketika pilihan raya negeri Johor sehingga hari ini.

Bagaimanapun, pengkritik Muda dalam PKR juga menyebut mengenai rundingan yang gagal pada PRN Johor, yang menyaksikan calon Muda, Rasid Abu Bakar bertembung dengan Dr Zamil Najwah Arbain dari PKR dan empat yang lain di Larkin.

Portal dalam talian The Malaysian Insight memetik Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli Abdul Halim sebagai berkata, tindakan Muda di Johor itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli PKR, walaupun ada kerjasama lain yang berjaya.

Adam sebelum ini turut berkata tiada jalan mudah untuk Muda menyertai PH dan banyak pertimbangan perlu dibuat sebelum menerima penyertaan parti itu.

Muda bertanding tujuh kerusi DUN pada PRN Johor dengan bantuan daripada DAP dan Amanah, kecuali di Larkin di mana kedua-dua parti daripada PH itu menyatakan pendirian untuk tidak membantu Muda menentang PKR.

‘Imaginasi yang aneh-aneh’

Amira dalam pada itu menepis dakwaan bahawa Muda tidak ikhlas dalam perjuangan dan mempunyai kaitan dengan bekas Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, selain dakwaan bahawa Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini terlibat dalam tindakan ‘lompat parti’.

"Saya nak sebut di sini bahawa semua dakwaan ini bukan sahaja tidak benar, malah ia dibina dengan imaginasi yang aneh-aneh.

"Muda ini dibina oleh sekumpulan orang muda yang mahu Malaysia maju ke depan.

"Setelah kekecewaan dengan Langkah Sheraton, saya dan kawan-kawan fikir, lebih baik kita tubuh parti politik dan jadi orang politik yang bersih, rajin dan bersungguh-sungguh mentadbir negara,” katanya.

Pada Selasa lalu, Syed Saddiq memaklumkan hasrat Muda untuk menyertai PH secara rasmi, dan mengatakan rundingan awal telah berlangsung dengan pimpinan kanan gabungan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS