Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Audit forensik terhadap Mitra, Maika, Mied jika PH kembali tadbir negara'

PH berjanji akan melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India sekiranya gabungan itu menang pada PRU15 dan kembali mentadbir negara.

Tiga institusi tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.

"Saya kata penyelewengan banyak telah terbukti, telah dibongkar (dan) perlu ada audit forensik dan juga kalau perlu tubuhkan RCI.

"Ini kerana masyarakat India ini mengeluh tentang pengabaian isu kemiskinan dan peluang kemiskinan yang dihadapi mereka.

"Peruntukan diberikan tapi tidak dikawal dengan baik, ini termasuk Maika Holdings semasa saya (jadi) kementerian kewangan dulu.Tapi (masalah sama) telah berulang di MIED dan Mitra," katanya kepada pemberita di Perhimpunan Bersama Masyarakat India anjuran PKR di Shah Alam, hari ini.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa pemimpin PKR dalam acara itu bahawa individu-individu yang terlibat dengan penyelewangan Maika Holdings masih tidak dikenakan hukuman manakala siasatan SPRM terhadap isu dana Mitra tidak dibuat secara menyeluruh.

MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham - kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur - sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset - selama bertahun-tahun.

Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.

Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika pentadbiran kerajaan PH.

Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional, Mitra diletakkan di bawah ke Kementerian Perpaduan.

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Terdahulu dalam acara itu, Naib Presiden PKR K Saraswathi mendakwa MIED bertindak sebagai 'along' dengan memaksa para peminjam membayar balik hutang dengan kadar faedah tinggi sekiranya lambat membuat pembayaran.

"MIED seharusnya memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang miskin, bukan memberi hutang.

"Ada kes di mana seorang pelajar berhutang RM12,000 dan telah membayar RM9,000 tetapi tidak mampu menjelaskan bakinya dalam tempoh yang ditetapkan. Dia dipaksa membayar baki dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi," dakwanya.

R Sivarasa

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa menyambut baik komitmen yang dinyatakan Anwar.

"Skandal Maika Holding berlanjutan lebih 20 tahun. Kita perlu audit forensik untuk mengetahui apa terjadi kepada wang yang dilaburkan.

"Sama juga seperti Mitra dan MIED. Kita tahu skandal-skandal ini telah dan sedang disiasat oleh SPRM. Tapi, ia (setakat ini) tidak membongkar apa-apa pun," katanya kepada pemberita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS