Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tebatan banjir: KL perlu lebih daripada sekadar beg pasir – Yeoh

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengubah cara ia berfungsi dalam menangani banjir yang kerap dan menggesa kerja-kerja mendalamkan sungai di empat sungai utama di Segambut dimulakan segera.

“KL perlu lebih daripada sekadar penghadang beg pasir. Punca banjir adalah limpahan (air sungai).

"Jika air banjir yang deras boleh merobek pagar besi biru di sepanjang sungai, beg pasir ini lagilah tidak mampu menghadang limpahan," katanya.

Yeoh, yang bercakap kepada pemberita berhampiran Sungai Keroh, hari ini, juga menyorot bahawa beg pasir sedia ada sudah usang dengan ada yang sudah koyak.

Dia turut diiringi ahli persatuan penduduk dari kawasan yang sering dilanda banjir di kawasan itu.

“Musim hujan sudah tiba dan saya tidak nampak sebarang penambahbaikan kritikal pada sungai atau kerja-kerja tebatan banjir yang jelas menggambarkan penyelesaian kepada banjir yang kerap berlaku di daerah ini.

“Anda tahu ini masalah di Kuala Lumpur, kenapa kita tidak boleh ambil tindakan segera untuk menaik taraf keadaan sungai-sungai ini, menggunakan peruntukan sedia ada dan mengorek semua pasir?

“Negara lain telah melaksanakan penyelesaian moden. Mengapa kita tidak boleh melaksanakannya di Kuala Lumpur,” katanya.

Dia juga berkata Sungai Toba di Kampung Masjid Segambut dan Sungai Ara di Kampung Sungai Penchala terdedah kepada tebing pecah dan membanjiri kawasan perumpahan berhampiran.

Dia berkata DBKL telah meletakkan beg pasir sebagai langkah mitigasi sementara di sepanjang tiga sungai ini yang kini ditumbuhi rumput liar.

Menurutnya, satu lagi sungai yang memerlukan kerja-kerja naik taraf untuk pendalaman ialah Sungai Batu yang terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Yeoh berkata, dia menerima maklumat terkini daripada JPS yang mengesahkan kerja mendalamkan sungai itu masih belum dimulakan.

“Kita tidak boleh tunggu dan hanya bertindak hanya apabila mula banjir.

“Kita perlu ubah cara kerja dan kerja-kerja mendalamkan sungai mesti dilakukan setiap bulan sekurang-kurangnya dan bukannya dua atau empat kali setahun kerana sekarang ini semakin kerap banjir.

“Pemberian RM1,000 atau RM1,500 tidak mencukupi untuk penduduk yang berdepan ribuan kerugian dan kehilangan harta benda,” katanya.

Yeoh berkata rancangan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim untuk membina kolam tadahan bawah tanah akan mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan dan penduduk memerlukan penyelesaian segera.

Yeoh mengesyorkan menteri mempertimbangkan penyelesaian moden seperti hadangan mudah alih yang diterima pakai oleh Singapura.

Yeoh juga merayu kepada DBKL untuk mengubah cara ia menangani kelulusan projek dan memberi keutamaan kepada isu banjir.

“Mereka tidak mengubah cara mereka bekerja. Mereka terus meluluskan projek pembangunan lain tetapi infrastruktur mereka tidak dapat menampungnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS