Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11 maut disambar petir di Bangladesh
Diterbitkan:  Sep 10, 2022 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

GLOBAL | Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera disambar petir di Bangladesh sejak dua hari lepas, menurut laporan pada Jumaat.

Kejadian terbaharu dilaporkan di daerah barat daya Khulna yang meragut nyawa dua beradik manakala sembilan lagi kematian dilaporkan pada Khamis di daerah utara Sirajganj.

Kekerapan kematian akibat disambar petir telah mencetuskan kebimbangan.

"Kami bimbang nak keluar rumah kalau hujan atau cuaca ribut sebab takut petir," kata Md Rashedul Islam, penduduk kawasan Mirpur, di Dhaka kepada Agensi Anadolu.

Beliau berkata penduduk akan naik ke bumbung ketika hujan untuk mandi dan bermain hujan, tetapi sekarang aktiviti itu jarang dilihat.

Menurut rekod Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan, lebih 3,000 terbunuh akibat disambar petir di Bangladesh sejak 2011.

Sekurang-kurangnya 362 orang terbunuh pada 2021, pada Jun sahaja 31 mangsa maut.

Data menunjukkan hampir 70 peratus kematian direkodkan di negara yang terjejas akibat perubahan iklim antara April dan Jun.

Pencinta alam sekitar berkata penanaman pokok secara besar-besaran di negara itu sangat berkesan membantu melindungi warga Bangladesh daripada panahan petir di samping langkah pencegahan lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS