Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Adakah polis dah soal dua wartawan dedah lokasi Jho Low?
Diterbitkan:  Sep 10, 2022 11:49 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Pihak polis digesa menyatakan jika ia telah menghubungi wartawan Tom Wright dan Bradley Hope mengenai laporan penampakan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (gambar, bawah) berkata polis perlu menghubungi kedua-dua wartawan itu yang telah melaporkan bahawa Jho Low berada di China atau Hong Kong antara 2018 dan 2019.

"Sekiranya tidak, mengapa pihak polis enggan mendapatkan maklumat daripada Wright dan Hope?

"Saya juga ingin tanya KPN jika pihak beliau boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low dan geng-gengnya yang dikehendaki polis," soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Lim turut mengalu-alukan komitmen Ketua Polis Negara (KPN), Acryl Sani Abdullah Sani semalam untuk mengesan dan membawa balik Jho Low bagi menghadapi tindakan undang-undang Malaysia.

Wright dan Hope, bersama-sama dengan Clare Rewcastle-Brown, adalah antara wartawan antarabangsa paling terkenal yang membuat liputan mengenai skandal 1MDB.

Sejak pemenjaraan Najib Razak, Wright dan Hope (gambar, bawah) melancarkan kempen dalam talian bagi mendapatkan sokongan sumber daripada orang ramai untuk mengesan Jho Low.

Sejak dua minggu lalu, Wright dan Hope telah mengeluarkan gambar yang didakwa memaparkan Jho Low di Shanghai Disneyland dan salinan borang permohonan keahlian kelab kapal layar, yang dikatakan ditandatangani oleh isteri Jho Low.

Pada 2018, Jho Low didakwa tanpa kehadiran di Malaysia atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$261 juta (RM1.17 bilion pada kadar semasa).

Pada pertengahan tahun ini, peguam Jho Low telah cuba untuk merundingkan penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, pihak peguam negara menolak tawaran penyelesaian itu, yang dilaporkan termasuk sejumlah RM1.5 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS