Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: JPP nafi pemilihan semula di 53 cabang
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hari ini menafikan spekulasi bahawa 53 cabang PKR akan berdepan pemilihan semula dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Zaliha Mustafa berkata bahawa adalah mustahil pejabat setiausaha agung parti tidak memaklumkan kepadanya terlebih dahulu jika benar ada surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkenaan hal tersebut.

"Sejak beberapa hari kebelakangan ini saya telah menerima banyak panggilan dan pesanan ringkas dari anggota parti dan rakan media, bertanyakan berkenaan 53 cabang yang akan berdepan dengan pemilihan semula dalam masa yang terdekat.

"Saya ingin menyangkal dan menegaskan bahawa berita tersebut adalah berita palsu.

"Ia adalah rentetan dari sebuah posting di ruang media sosial yang saya menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan sengaja dikeluarkan atas tujuan provokasi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Zaliha menasihatkan anggota PKR supaya bertenang, dan tidak bertindak dengan sebarang spekulasi serta dinasihatkan untuk hanya menerima berita dari sumber yang sahih.

Sebelum ini, terdapat desas-desus bahawa RoS telah mengarahkan PKR untuk mengadakan pemilihan semula di 53 cabang susulan aduan daripada beberapa pemimpin parti yang tidak puas hati dengan keputusan parti.

Pemilihan PKR diadakan pada Mei tahun ini melibatkan pemilihan jawatan timbalan presiden, naib presiden, majlis pimpinan pusat, sayap wanita, pemuda dan cabang.

Parti itu mengadakan pemilihan semula di beberapa cabang susulan beberapa masalah, termasuk masalah teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS