Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bendera Pahang dikibar separuh tiang selama tiga hari 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya bendera negeri Pahang dikibarkan separuh tiang selama tiga hari, bermula esok sebagai tanda penghormatan terhadap kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan negeri, Sallehuddin Ishak dalam kenyataan media di Kuantan, hari ini. 

Ratu Elizabeth II adalah pemimpin paling lama berkhidmat dalam monarki Britain, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, awal pagi tadi. 

Baginda memimpin negara itu selama 70 tahun, dimasukkan ke hospital sejak semalam.

Memetik laporan dikeluarkan Istana Buckingham, kerabat diraja Britain dilaporkan bergegas ke istana Balmoral untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang tentang perkembangan kesihatan baginda.

Berita kemangkatan itu kemudiannya dimaklumkan Istana Buckingham dalam kenyataan ringkas yang turut menyatakan tempoh berkabung seluruh negara selama 10 hari.

Serentak dengan pengumuman itu, bendera di seluruh United Kingdom dan negara Komanwel dikibarkan separuh tiang.

Ratu Elizabeth atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17 Bruton Street London, pada 21 April 1926.

Baginda menjadi pewaris takhta apabila bapa saudaranya, Raja Edward turun takhta pada 11 Disember 1936 dan bapanya, George menjadi Raja ketika baginda berusia 10 tahun.

Baginda berkahwin dengan Putera Philip Mountbatten, seorang putera dari Greece, di Westminster Abbey, London pada 20 November 1947.

Hasil perkahwinan itu, pasangan diraja berkenaan dikurniakan empat anak iaitu Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward. Putera Philip meninggal dunia pada April 2021 pada usia 99 tahun.

Ratu Elizabeth II ditabal menjadi Ratu Britain selepas kematian ayahanda baginda, Raja George VI pada 6 Februari 1952 ketika baginda berusia 25 tahun.

Susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, putera tertua baginda iaitu Putera Charles, 73, dinobatkan sebagai Raja Charles III berkuatkuasa serta-merta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS