Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Tak pelik PKR keberatan Muda sertai PH

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dua hari lalu menyuarakan hasrat untuk menyertai PH bagi menghadapi PRU akan datang.

Bagaimanapun, hasrat itu bukanlah semudah yang disangka apabila mengambil kira isu yang pernah timbul antara kedua-dua pihak sebelum ini.

Bagi penganalisis politik Azmi Hassan, ada sebab kenapa PH khususnya PKR dilihat agak keberatan untuk menerima penyertaan Muda walaupun gabungan itu tetap perlu mempertimbangkan semasak-masaknya perkara itu.

Felo kanan Penyelidikan Strategik Akademi Nusantara itu berkata, antara yang menjadi kegusaran adalah isu pembahagian kerusi, apatah lagi apabila kedua-dua pihak pernah bertembung dalam PRN Johor.

"Bukan saja Pemuda PKR (AMK) yang sepatutnya berasa gusar dengan adanya Muda tetapi keseluruhan PH sendiri.

"Pertama ialah pembahagian kerusi yang paling penting, yang sebelum ini hanya melibatkan DAP, PKR, Amanah dan Upko tetapi bila termasuk Muda, perlu ambil kira kehendak parti itu.

"Kalau dilihat tingkah laku Muda dalam PRN Johor sebelum ini sehingga mereka sanggup letak calon menentang PKR...jadi ini yang dikatakan kegusaran, adakah pisang akan berbuah dua kali?" soalnya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, dia berpandangan PRN Johor pada Mac lalu telah mengajar Muda erti setia kawan.

"Muda telah belajar bagaimana keputusan PRN Johor itu menunjukkan mereka tidak boleh berlagak angkuh lagi dalam hal meletakkan calon," katanya.

Dalam PRN Johor, DAP dan Amanah bertindak memberi laluan di enam kerusi DUN kepada Muda, iaitu Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap and Bukit Permai. Muda hanya menang di Puteri Wangsa.

Pada masa sama, Muda juga meletakkan calon di DUN Larkin - kerusi yang ditandingi PKR - selepas PKR enggan memberi laluan.

Mengulas lanjut, Azmi turut berpandangan penyertaan Muda ke dalam PH akan lebih menguntungkan parti baru itu, sambil membangkitkan parti itu gagal menarik sokongan ramai pengundi muda dalam PRN Johor.

"Muda tahu selepas PRN Johor mereka tidak boleh berseorangan...sebab itu saya katakan ia lebih memberi manfaat kepada Muda dan nilai tambah tak seberapa untuk PH secara keseluruhannya," katanya lagi.

Susulan kenyataan yang dibuat Muda, Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim berkata tiada "jalan mudah" untuk penyertaan parti itu kerana terdapat banyak pertimbangan yang perlu dibuat.

Katanya, antara pertimbangan yang perlu diambil kira adalah sentimen akar umbi yang rata-rata tidak senang dengan perkembangan itu, selain pertembungan dalam dua PRN sebelum ini.

Namun hari ini Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyambut baik hasrat itu dan mahukan PH membincangkannya secepat mungkin.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berpandangan PKR khususnya sayap pemudanya keberatan untuk menerima Muda mungkin kerana kedua-dua parti itu memiliki banyak persamaan.

"Dua parti ini asasnya sama, dari segi konsep perjuangannya dan isu-isu yang dibawakan juga agak sama. Oleh kerana AMK sayap pemuda maka AMK dengan Muda ini seakan-akan sama.

"Jadi mungkin mereka melihat Muda ini satu saingan pada AMK," katanya sambil menambah AMK melihat mereka sendiri mampu menarik sokongan pengundi Muda.

‘Syed Saddiq tak khianat’

Bagaimanapun, Mazlan membangkitkan sikap komponen PH lain yang menurutnya lebih terbuka.

"Ini kerana Muda berpotensi untuk menambah sokongan orang-orang muda dan pada masa sama hasrat Muda untuk bertanding di 15 kerusi agak munasabah.

"Saya juga rasa tidak begitu berat untuk PH lunaskan hasrat itu," katanya lagi.

Bagaimanapun, sama seperti pandangan Azmi, dia berkata dari segi hubungan kedua-dua pihak, Muda adalah pihak yang lebih memerlukan PH untuk terus "hidup dalam politik".

Berkenaan pandangan yang disuarakan Adam Adli, Mazlan menyuarakan keyakinan bahawa Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah ahli politik yang boleh dipercayai.

"Syed Saddiq terbukti tidak pernah khianati. Selepas Langkah Sheraton, Syed Saddiq kekal menentang kerajaan PN dan kemudian BN.

"Jika bimbang Muda khianati PH, PH boleh beri syarat. calon-calon Muda bertanding atas tiket PH dan watikah ditandatangani presiden PKR atau presiden mana-mana parti yang memberi kuota kerusinya kepada Muda," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS