Tiada layanan istimewa untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Kompleks Penjara Kajang, menurut satu laporan.
Laporan Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, selain ditempatkan di sel pengasingan atas faktor keselamatan sebagai banduan berprofil tinggi, Najib menerima layanan sama seperti banduan lain berdasarkan Peraturan 8 Akta Penjara 2000.
"Sebagai seorang bekas pemimpin besar negara, sudah pasti kawalan akan diperketatkan bagi memastikan beliau berada dalam jagaan selamat di bawah Jabatan Penjara," katanya.
Kata sumber itu lagi, makanan yang disediakan kepada Najib juga mengikut "skala diet yang sama" seperti banduan lain dengan kekerapan biasanya lima kali sehari, namun cadangan boleh dibuat oleh pegawai perubatan jika Najib memerlukan diet berlainan atas faktor kesihatan.
Berkenaan senaman pula, sumber itu berkata Najib boleh membuat senaman dan rekreasi fizikal harian dengan syarat mengikut tatatertib keselamatan yang ditetapkan.
Mandi air sejuk, hanya guna kipas
Sementara itu, laporan itu turut memetik seorang lagi sumber yang rapat dengan Najib yang berkata dia hanya mandi air sejuk dan sel pengasingannya hanya menggunakan kipas.
“Beliau ada alahan kulit, kelmarin di mahkamah nampak bahagian leher Najib kemerah-merahan akibat alahan kulit selain badan susut sedikit.
“Dalam sel Najib suis pun tiada. Najib ada alahan, kalau tidur boleh berhenti bernafas, jadi kena pakai satu mesin. Malah mesin itu pun kena tarik wayar,” kata sumber itu seperti dipetik.
Katanya lagi, dia difahamkan Najib tidak diberi doktor khas dan bergantung kepada doktor yang ditugaskan kepada semua banduan.
Dalam pada itu, sumber pertama berkata boleh menggunakan buku dan bahan bertulis yang diterima atau diperolehi melalui pegawai penjara dengan syarat mendapat kelulusan pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya.
Najib mula menjalani hukuman penjaranya pada 23 Ogos lalu,selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia juga kini masih berdepan tiga lagi perbicaraan jenayah melibatkan 1MDB dan satu perbicaraan berkenaan SRC International.