Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rapat mega PKR bermula Ahad ini di kerusi 'pengkhianat' di Gombak
Diterbitkan:  Sep 7, 2022 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Menjelang pilihan raya umum ke-15 yang dijangkakan diadakan tidak lama lagi, PKR akan memulakan beberapa siri rapat mega di seluruh negara bermula Ahad ini.

Perhimpunan pertama 'rapat mega PKR' akan berlangsung di Gombak, Selangor, bermula jam 5 petang hingga tengah malam, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada sidang media, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengapa Gombak dipilih sebagai tempat pertama perhimpunan itu, Fahmi enggan menyebut sebarang nama, tetapi berkata tumpuan akan diberikan kepada kerusi 'pengkhianat'.

“Kita akan beri fokus kepada kawasan parlimen yang wakil rakyatnya telah mengkhianati parti dan perlu kita beri fokus dari segi penerangan di kawasan-kawasan tersebut.

"Kita patut perbaiki itu. Saya sendiri pernah lihat pengundi beritahu saya sendiri bahawa mereka tidak mahu mengundi lagi, kerana perbuatan 'Si Kitol dan Mendeliar' dan kita harus memperbetulkannya," kata Fahmi.

"Ahad ini, kita akan gempur Gombak, kita akan tonjolkan di Gombak (PKR) masih kukuh kuat, bersepadu dan akan merampas semula kerusi (itu) insya-Allah pada PRU15 nanti,” kata Fahmi.

Walaupun Fahmi tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas ia merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR merangkap ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, yang menjadi dalang 'Langkah Sheraton' 2020 sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

'Si Kitol dan Mendeliar' merujuk kepada dua individu yang menjadi pengkhianat semasa zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-16 Melaka, sehingga menyebabkan negeri itu ditawan oleh Portugis.

Menurut Fahmi lagi, rapat mega tu kemudiannya akan bergerak ke setiap negeri, dengan kehadiran tokoh-tokoh kanan parti, seperti presidennya, Anwar Ibrahim; timbalannya Rafizi Ramli, dan naib-naib presiden yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS