Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukuplah, ini bukan era Mahathir lagi - Puteri Umno
Diterbitkan:  Sep 7, 2022 1:43 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Ketua Puteri Umno, Zahida Zarikh Khan mengingatkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa era politik acuannya telah berakhir.

Sebaliknya menurut Zahida, sekarang adalah era anak muda celik politik yang boleh mengakses maklumat di hujung jari.

"Yang nak disampaikan adalah Umno hanya akan suci sekiranya Tun (Mahathir) sebagai pencatur, Umno ikut telunjuk Tun dan anak-anak Tun selamat berada di pucuk pimpinan Umno sekali gus menjamin anaknya sebagai perdana menteri.

"Cukup-cukuplah Tun, ini zaman kami, zaman anak muda makin celik politik, bukan zaman Tun lagi.

"Bukan zaman sebar surat layang dihimpit dengan batu di masjid ketika solat Jumaat. Bukan zaman video tape (VHS), bukan juga zaman VCD. Segala info dihujung jari," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, tanpa menghuraikan apa yang tersirat mengenai mesej yang disampaikan itu.

Semalam Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, pemenjaraan bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak tidak cukup untuk membersihkan parti itu daripada budaya rasuah.

Bekas presiden Umno selama 22 tahun itu berkata, rasuah dalam parti itu telah melata hingga ke peringkat akar umbi.

Oleh itu katanya, Umno perlu ditolak secara keseluruhan dalam PRU ke-15 nanti kerana pemenjaraan Najib tidak membersihkan parti itu.

Sementara itu Zahida berkata, Umno yang dianggap busuk oleh Mahathir telah mengangkatnya di pucak kuasa selama 22 tahun.

"Sebusuk-busuk Umno di mata Tun, parti inilah yang mendokong hingga 22 tahun di tampuk kuasa.

"Sebusuk-busuk Umno di mata Tun, tiada seorang pemimpin Umno yang berjaya mengkayakan anak-anak hingga bergelar 'billionaire'," katanya sinis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS