Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bagi alamat bang, saya nak saman'
Diterbitkan:  Sep 7, 2022 12:48 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semalam mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna Twitter berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 406.22 hektar.

Ia selepas pengguna Twitter itu mempersoalkan jika penyahwartaan itu dibuat kerana Amirudin mencari dana politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Bagi alamat bang. Saya nak saman kerana tuduh saya ambil duit dari developer," ciapnya.

Amirudin juga sekali lagi menjelaskan kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan proses penyahwartaan - yang diluluskan pada 2000 - bagi mengelak tindakan undang-undang.

"Tiada apa nak disembunyikan. Saya cuma ingin melindungi kepentingan negeri. Saya tak mahu ulang kesilapan pemimpin terdahulu, yang membebankan kerajaan negeri dengan tindakan undang-undang dan kita perlu bayar jumlah yang besar selepas kalah di mahkamah," katanya.

Katanya lagi, langkah membatalkan penyahwartaan yang dibuat pada 2000 akan menguntungkan syarikat pemaju kerana mereka dapat meraih pampasan besar.

"Dengan tarik balik keputusan (yang dibuat pada) 2000, ini akan untungkan developer yang dapat ganti rugi dengan saman termasuk kadar faedah setiap tahun sebagaimana banyak kes yang sedang dihadapi negeri," katanya.

Dia juga berkata tiada kebenaran baru yang diberikan untuk membangunkan mana-mana kawasan di Hutan Simpan Bukit Cherakah dan kawasan yang ditebang itu mungkin yang telah mendapat kebenaran sebelum ini.

"Malam ini saya akan dapatkan tanah siapa yang digondol itu," katanya lagi.

Terdahulu, laporan muka depan Utusan Malaysia menyatakan kawasan hutan simpan itu - yang telah dinyahwarta sebanyak 22 kali sejak 1924 - sedang digondolkan.

Warta kekal sementara keputusan mahkamah

Pada 11 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan kawasan seluas 406 hektar hutan itu yang menjadi pertikaian kekal diwartakan sementara menunggu cabaran undang-undang yang dikemukakan terhadap penyahwartaannya.

Ia selepas hakim Shahnaz Sulaiman membenarkan permohonan yang difailkan Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) dan Khazanah Alam Malaysia (Peka) agar menangguhkan sementara penyahwartaan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman mereka.

Dalam tindakan itu, mereka mendakwa keputusan nyahwarta adalah lapuk kerana dibuat 22 tahun lalu.

Mereka juga mendakwa adalah menyalahi undang-undang bagi kerajaan negeri untuk mengemas kini pemberitahuan warta - yang dikeluarkan pada 5 Mei tahun ini oleh jabatan perhutanan negeri - merujuk kembali kepada keputusan exco kerajaan negeri yang dibuat pada 2000.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS