Trauma dengan air setinggi dada dalam banjir baru-baru ini, ada penduduk di sekitar Kampung Sungai Belat, Pahang merancang untuk berpindah ke inap desa sepanjang musim tengkujuh, kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Mereka yang tidak mampu berbuat demikian akan terus tinggal di sana dalam ketakutan, katanya pada simposium mengenai perubahan iklim yang dianjurkan oleh pejabat ketua pembangkang di parlimen semalam.
“Lebih 30,000 keluarga tinggal di sini, jadi 100,000 orang hidup dalam ketakutan kerana projek tebatan banjir tertangguh lebih satu setengah tahun.
“Sebelum ini tidak pernah banjir seteruk itu, tetapi disebabkan projek tebatan banjir ini belum siap, mereka kini berhadapan dengan air setinggi dada. Mereka trauma.
“Projek itu belum siap. Ada rumah pam tetapi tiada bekalan elektrik. TNB tidak akan membekalkan elektrik kerana perlukan permit perancangan untuk projek itu,” katanya.
Fuziah berkata ini hanyalah satu contoh bagaimana hujan yang melampau akibat perubahan iklim memberi kesan kepada orang ramai dan kekurangan pelan penyesuaian nasional tidak banyak membantu keadaan.
"Inilah sebabnya kita memerlukan jawatankuasa khas parlimen (mengenai perubahan iklim dan biodiversiti) untuk meneliti apa yang dilakukan oleh kementerian," katanya semasa perbincangan panel.
Sebagai maklum balas, ahli panel perbincangan lain, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang berkata pelan penyesuaian nasional itu sudah pun di peringkat penggubalan, sementara menunggu pelan penyesuaian global yang dijadualkan pada 2024.
“Kami perlu menyesuaikan diri dengan pelan penyesuaian global Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim, yang akan siap menjelang 2024.
"Jika kami melakukannya sekarang maka kami perlu buat semula pada 2024. Kami sudah mula secara berperingkat dan akan menyesuaikannya pada 2024," katanya.
Mengenai projek tebatan banjir di Kuantan, dia berkata projek itu tertangguh kerana sekatan pergerakan akibat Covid-19.
‘Allah timpa musibah akibat buang sampah’
Zaini juga berkata 90 peratus banjir kilat yang berlaku di Malaysia berpunca daripada longkang tersumbat, dipenuhi pasir, puing dan sampah sarap.
Zaini berkata sekiranya air hujan tidak disalurkan ke dalam longkang dalam tempoh 20 minit selepas turun, banjir kilat akan berlaku.
“Isunya, kenapa orang ramai membuang sampah? Kadang-kadang orang yang menyebabkan banjir adalah mereka yang membuang sampah dan Allah timpakan musibah kepadanya dengan menyebabkan banjir di kawasannya,” katanya.
Ketika didesak moderator, Zaini mengakui saliran sedia ada mungkin tidak mampu menampung hujan lebat akibat perubahan iklim walaupun longkangnya bersih.
Inilah sebabnya, katanya, terdapat pelbagai infrastruktur tebatan banjir yang dibina atau sedang dijalankan, manakala spesifikasi saliran telah diubah untuk memastikan longkang masa depan dapat menampung peningkatan hujan.
Dia menegaskan pada Mac, Terengganu menerima hujan 1042mm dalam tempoh empat hari, jumlah hujan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah Malaysia.
Bagaimanapun, dakwanya tiada nyawa terkorban dan air banjir surut dalam tempoh sehari hasil dari empangan Kerteh dan infrastruktur tebatan banjir yang lain.
“Hujan di Terengganu adalah melampau berbanding pada 2014 ketika banjir di Kelantan. Hujan turun selama lapan hari dan hanya 940mm hujan turun.
Belanjawan harus tangani perubahan iklim
"Data ini penting untuk pentadbir memahami cara kami boleh menyesuaikan diri," katanya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago tidak bersetuju dengan Zaini bahawa 90 peratus banjir kilat berpunca daripada longkang tersumbat.
Dia berkata terdapat keperluan untuk menaik taraf infrastruktur saliran dan pengairan bagi mengurangkan perubahan iklim perlu diberi keutamaan dalam bajet negara akan datang.
“Kita harus memberi keutamaan kepada perubahan iklim dan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk menangani perubahan iklim.
“Pakistan hanya menyumbang satu peratus daripada pelepasan (karbon) global tetapi lihatlah bencana di sana.
“Jika kita tidak mengambil tindakan sekarang, kita akan menghadapi masalah yang sama. Malah, kami sudah pun berdepan masalah itu,” katanya.
Katanya, kelihatan kekurangan tindakan segera di peringkat tempatan , dengan pihak berkuasa tempatan dan pegawai daerah mendakwa "menunggu arahan" sebelum membuat persediaan menghadapi musim banjir yang akan datang.
“Arahan siapa yang mereka tunggu,” soal Charles.
Bagi memastikan mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim berada dalam agenda nasional, dia mencadangkan menteri kewangan bertemu dengan ahli parlimen dan NGO, untuk memahami apa yang diperlukan dan memasukkannya dalam belanjawan negara, yang akan dibentangkan di parlimen bulan depan.
"Apabila kerajaan membawa bajet ke parlimen ia tidak boleh diubah," katanya.
Charles turut menggesa supaya satu suruhanjaya peringkat tinggi mengenai kesan banjir terhadap rakyat terutama golongan miskin dan terpinggir.
Ahli Parlimen itu juga mencadangkan Kementerian Perubahan Iklim dibentuk, untuk menyelia semua projek penyesuaian iklim dan dasar berkaitan, dan untuk jawatankuasa khas parlimen mengenai perubahan iklim sebagai badan penyelia untuk kementerian ini.
Pinda perlembagaan hak terhadap air bersih
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang dan Kuantan bersetuju dengan cadangan penyelidik alam sekitar Wong Pui Yi, yang pada masa soalan mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menjaga hak air bersih dan persekitaran yang sihat.
Wong berkata hak ini diperakui di 156 negara tetapi rakyat Malaysia tidak diberikan hak perlembagaan ini.
Wong juga menggesa pindaan dalam sistem perundangan untuk membenarkan tindakan undang-undang pencegahan terhadap pencemar yang berpotensi dan untuk tindakan undang-undang difailkan bagi pihak generasi akan datang, terhadap potensi kemusnahan alam sekitar.
Wong berkata ini mungkin berlaku di Filipina tetapi menghadapi masalah di Malaysia berikutan isu locus standi, yang menekankan seseorang itu mesti terjejas serta-merta sebelum boleh mengemukakan kes undang-undang.
Ili Nadiah Dzulfakar (gambar, bawah) dari Klima Action Malaysia (Kamy) yang turut menjadi ahli panel, berkata Malaysia sudah pun menandatangani resolusi PBB yang menyebut bahawa persekitaran hidup yang bersih dan sihat adalah hak untuk hidup.
Katanya, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa sebarang kelewatan dalam tindakan akan membebankan kepada generasi akan datang - generasi yang sudah menghadapi keadaan ekonomi yang lemah akibat wabak itu.
“Pada setiap permulaan krisis, golongan muda adalah agen transformasi dan penyelesaian. Kami menuntut Akta Perubahan Iklim diutamakan.
“Kita tidak banyak masa. Kita tidak mempunyai masa tiga hingga lima tahun untuk menunggu ia dibentangkan di parlimen,” katanya.
Nadiah berkata akta itu mesti merangkumi pelan penyesuaian nasional dan mempunyai rangka kerja yang mengutamakan keperluan golongan yang terdedah dan menyediakan perlindungan bagi mereka yang dipindahkan akibat bencana.
"Bahasa hak asasi manusia mesti menjadi asas kepada Akta Perubahan Iklim," katanya.
Menurutnya, tindakan bukan sahaja termasuk langkah mitigasi dan penyesuaian yang proaktif, tetapi juga mendesak pemimpin di negara membangun untuk menuntut negara maju menyediakan lebih banyak pembiayaan dan sokongan.
Ini, jelasnya kerana sebahagian besar pelepasan karbon datang dari negara maju tetapi yang menanggung beban adalah di negara membangun.
“Apa yang berlaku di negara lain memberi kesan kepada kita. Gelombang haba di India memberi kesan kepada keselamatan makanan global.
"Kami tidak boleh berpura-pura bahawa kami akan terlepas dan kami tidak terdedah (dengan perubahan iklim),” katanya.