Seorang pegawai bersara dari Kementerian Kewangan (MOF) memberi keterangan bahawa kerajaan Malaysia lemah disebabkan penarafan hutang antarabangsa negara yang lemah ketika itu.
Siti Zauyah Md Desa berkata demikian semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak.
Saksi pendakwaan ke-26 itu menjawab semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed.
Peguam itu menyoal berhubung keterangan Siti Zauyah sebelum ini berhubung surat sokongan (LOS) yang didakwa ditandatangani Najib untuk 1MDB mendapatkan pinjaman AS$3 bilion yang dikaitkan dengan usaha sama 1MDB dengan Aabar Investments PJS.
Sebelum ini, Siti Zauyah, yang pernah berada di bahagian pengurusan pinjaman Kementerian Kewangan, memberi keterangan bahawa walaupun ketiadaan usaha wajar (due deligence) oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), LOS masih diproses hanya berdasarkan arahan yang didakwa dari Najib.
SIti Zauyah bersara dari MOF Inc pada 2019.
Pasukan pembelaan Najib juga sebelum ini semasa pemeriksaan balas menyorot bahawa Siti Zauyah tidak tahu butiran terperinci mengenai kenyataan saksi bertulisnya sendiri.
Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar tengah hari tadi, Aizuddin bertanyakan kepada Siti Zauyah mengenai peranannya dalam menyediakan kertas kabinet berhubung LOS pada 2013.
Ketika itulah saksi membuat kenyataan mengenai penarafan Malaysia seperti yang diberikan oleh agensi penarafan hutang antarabangsa.
Siti Zauyah: Nampak sangat kerajaan kita lemah.
Aizuddin: Pada ketika itu atau kerajaan kita lemah sekarang?
Siti Zauyah: Pada ketika kami (cuba) mendapatkan dana (untuk 1MDB), penarafan kami.
Aizuddin: Boleh kamu huraikan dari segi apa?
Siti Zauyah: Saya tidak ingat rating kami. Jika sekurang-kurangnya AA-, maka kami 'bankable', negara mempunyai keupayaan untuk membayar balik liabiliti.
Pada 13 Julai 2013 semasa kerajaan Malaysia di bawah Najib ketika itu, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings dilaporkan telah menyemak semula prospek negara daripada stabil kepada negatif.
Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Aizuddin kemudian mengemukakan hujah pembelaan bahawa eksibit LOS di hadapan mahkamah adalah dokumen palsu kerana tandatangan itu didakwa bukan milik tertuduh.
Bagaimanapun, Siti Zauyah berkata dia tidak dapat menjawabnya kerana tidak pernah melihat dokumen LOS sebenar.
Sementara itu, saksi itu menafikan dakwaan pihak pembelaan Najib bahawa keterangannya mengenai Malaysia masih berhutang AS$3 bilion sebagai khabar angin.
Siti Zauyah berkata, walaupun dia tidak mempunyai pengetahuan peribadi sama ada 1MDB telah berjaya membayar balik hutang AS$3 bilion, dia mendengarnya daripada seorang pegawai yang bertanggungjawab.
Apabila Aizuddin bertanya kepadanya mengenai keterangan lepasnya bahawa kerajaan Malaysia masih belum menjelaskan hutang itu, saksi itu mengakui bahawa kenyataannya dibuat berdasarkan dakwaan dokumen yang dilihatnya.
Peguam itu merujuk kepada keterangan Siti Zauyah pada 15 Jun bahawa Malaysia masih berhutang atas hutang AS$3 bilion.
Prosiding di hadapan Sequerah bersambung petang ini.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Berkenaan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa yang lain dengan restu Najib.
Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bahawa Najib tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu didalangi oleh Jho Low dan ahli pengurusan 1MDB yang lain.