Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shabery kepada PAS: Terima kasih kerana masih menaruh harapan, tapi...
Diterbitkan:  Sep 6, 2022 1:49 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Seorang pemimpin kanan Umno sekali lagi memberikan reaksi dingin kepada hasrat PAS mahu mempertemukan - serta mendamaikan - mereka dengan Bersatu.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek, berkata ketika ini ada rakan PAS yang sedang menyembunyikan pisau pada tangannya.

Sambil mengucapkan terima kasih atas harapan PAS itu, Ahmad Shabery berkata, ketika ini Umno masih merasakan sakit yang disebabkan Bersatu.

"Terima kasih kerana masih menaruh harapan.

“Namun di sisimu ada teman yang ditangannya tersembunyi pisau yang telah menikam kami berkali-kali," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini, "Pisau itu masih berdarah. Sakit masih dirasakan."

Menyertai kenyataan sindiran Ahmad Shabery ialah laporan media mengenai usul dibawa perwakilan PAS untuk meneruskan kerjasama dengan Umno.

Dalam muktamar ke-68 PAS hujung minggu lalu, parti itu menegaskan sekali lagi keinginan mereka berunding dengan Umno-BN bagi menghadapi PRU ke-15.

Bagaimanapun BN beberapa kali menegaskan mereka tidak berminat dan sudah membuat keputusan untuk bergerak sendirian.

Pada masa sama PAS turut mendedahkan mereka sedang berunding dengan individu tertentu dalam Umno bagi mengukuhkan persefahaman. PAS bagaimanapun tidak menamakan individu terbabit selain memberitahu ia tidak membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

PAS juga menegaskan, kerjasama tersebut perlu direalisasikan bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU ke-15 selepas menjangkakan gabungan berkenaan berpotensi besar mengulangi kejayaan mereka pada 2018.

Untuk rekod Ahmad Shabery merupakan antara pemimpin Umno yang mula mengorak langkah berbaik-baik dengan PAS secara terbuka ketika BN masih menjadi kerajaan.

Bersatu pula belum wujud ketika itu kerana beberapa pemimpin kanan Umno yang lantang mengkritik Najib Razak belum dikenakan tindakan, termasuk dipecat atau digantung keahliannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS