Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Kementerian ditekan tutup kes dera amah

Sumber dalam kerajaan mendakwa Kementerian Sumber Manusia sedang ditekan untuk "menutup kes" mengenai siasatan terhadap penderaan amah warga Indonesia, Zailis.

Sumber memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa kementerian itu menerima panggilan telefon daripada organisasi politik dan korporat, mendesak pegawai kementerian untuk menutup kes berkenaan.

“Kementerian telah menerima panggilan ibu kepada dua anak berusia 35 tahun, yang didakwa sebagai pendera Zailis ditahan pada 1 Sept.

"Mereka mendesak kementerian untuk menutup kes itu," kata sumber.

“Suami wanita yang ditahan itu dipercayai merupakan individu dalam penguatkuasaan undang-undang,” kata sumber lain.

Siasatan kementerian terhadap penderaan fizikal dan aduan buruh paksa adalah terhadap majikan suami dan isteri berkenaan, dengan salah seorang daripada mereka dipercayai pegawai penguatkuasa undang-undang.

Selain kementerian, polis Gombak di Selangor juga sedang menyiasat kes penderaan fizikal terhadap Zailis yang kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

Zailis, yang juga sedang dirawat kerana kecederaan lama termasuk patah tangan, membuat dakwaan buruh paksa terhadap majikannya.

Menteri mengesahkan panggilan telefon

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, yang berada di India, mengesahkan kementerian menerima beberapa panggilan telefon tetapi akan mendedahkan butiran lanjut apabila kembali esok (6 Sep).

"Saya akan mendapat maklumat lanjut apabila saya kembali esok," katanya.

Pada Sabtu (3 Sept), Saravanan mengeluarkan kenyataan akhbar yang menamakan majikan yang didakwa, serta menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan penderaan dan penindasan terhadap pekerja.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama kerana pasangan suami isteri itu belum didakwa di mahkamah.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan

Saravanan turut mengesahkan bahawa sejumlah RM32,000 gaji Zailis belum dibayar.

Pada hari yang sama, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed mengesahkan penahanan wanita berusia 35 tahun itu.

Perkembangan itu hadir dua hari selepas Zailis meninggalkan rumah majikannya di Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selangor selepas dipukul.

Bagaimanapun, Zainal tidak menyebut pertuduhan terhadap majikan.

Kerajaan Indonesia prihatin

Pada hari Jumaat (2 Sept), Zailis dikunjungi oleh duta Indonesia ke Malaysia Hermono yang mengecam penderaan itu.

Dia berharap tindakan akan diambil terhadap suami wanita itu, "memandangkan dia tidak melakukan apa-apa semasa aktiviti jenayah berlaku di rumahnya".

Semasa lawatan ke hospital, Hermono mendapati Zailis mengalami luka parah di muka, mata bengkak dan kecederaan serius pada kedua-dua telinganya.

Ketika dihubungi hari ini, dia berkata kes itu mendapat perhatian kerajaan Indonesia serta wakil rakyatnya.

“Pada masa lalu, ramai pekerja Indonesia mengalami ketidakadilan di Malaysia.

“Kita harap kali ini keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono

Ini adalah kes terbaru penderaan pembantu rumah yang terbongkar selepas pembebasan Ambika MA Shanmugam, 67, oleh Mahkamah Persekutuan pada Jun tahun ini atas kematian pembantu rumahnya, Adelina Lisao, pada 2018.

Hermono turut menggesa kes itu disiasat kerana eksploitasi mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Atipsom), yang diperkukuh dengan hukuman lebih berat awal tahun ini.

Dia menggesa hukuman maksimum perlu dikenakan kerana semua elemen kes itu menunjukkan berlakunya buruh paksa seperti garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, termasuk penahanan pasport dan tiada hari rehat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS