Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA serah pada pemimpin BN isu calon parlimen Seremban

Saranan Pemuda Umno Seremban untuk meletakkan Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi parlimen Seremban adalah "kejadian biasa" yang mungkin berlaku setiap kali menjelang pilihan raya, kata Ketua Perhubungan MCA Negeri Sembilan Siow Koi Voon.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Siow menegaskan dia percaya kepimpinan tertinggi BN akan membuat ketetapan terbaik berhubung pembahagian kerusi.

“Pada asasnya, apabila pilihan raya umum semakin hampir, setiap parti dan setiap ahli politik akan berjuang (untuk kerusi). Ini sangat biasa.

“Buat masa ini, pihak tertinggi BN masih membincangkan rundingan kerusi dan kita akan biarkan pucuk pimpinan menguruskannya.

"Kami percaya kepimpinan BN akan membuat ketetapan terbaik, dan kami akan menyokongnya," katanya.

Bagaimanapun, Siow enggan mengulas mengenai desakan Pemuda Umno Seremban untuk calon Umno bertanding di kerusi tradisi MCA itu.

Siow juga merupakan ketua bahagian MCA Seremban dan penyelaras BN bagi Seremban.

Semalam, Khairy menyatakan dia akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang juga ketua bahagia Rembau untuk bertanding di kerusi Rembau yang disandangnya ketika ini.

Khairy juga memaklumkan tiada kerusi ganti yang disediakan untuknya setakat ini.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Zool Amali Hussein mencadangkan Khairy bertanding di Seremban - kerusi yang secara tradisinya ditandingi MCA dan merupakan kubu kuat DAP.

Ini bukan kali pertama Zool Amali meminta MCA memberi laluan kepada Umno di Seremban.

Di berulang kali menuntut kerusi itu untuk Umno sejak 2020 memandangkan MCA tewas tiga pilihan raya berturut-turut di Seremban.

Pada Mei 2021, Pemuda Umno Seremban malah memutuskan hubungan dengan MCA Seremban dan MCA Negeri Sembilan kerana Siow didakwa berulang kali "memprovokasi" mereka mengenai isu itu.

Parlimen Seremban ketika ini disandang oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang pertama kali memenangi kerusi itu pada 2013.

Awal hari ini, Loke menyatakan bahawa dia bersedia untuk mempertahankan kerusi parlimennya daripada Khairy, atau sesiapa sahaja yang akan bertanding.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS