Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Pihak berkuasa harus soal Latiff, bukan Rafizi
Diterbitkan:  Sep 5, 2022 3:06 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Pihak berkuasa harus menyoal menteri yang didakwa terlibat dalam isu kapal tempur pesisir (LCS) dan bukan timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, yang hanya berkongsi pandangannya, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani bahawa pihak polis menyimpan telefon bimbit Rafizi sebagai sebahagian proses siasatan.

"Saya ucap terima kasih kerana beri respon, kalau begitu ambil telefon bagi baliklah.

"Kedua isunya apa ? Isunya ialah rasuah LCS, SPRM mesti ambil tindakan, dan menyentuh tentang menteri Latiff, patut tanya Latiff lah apa penjelasan, ada menyalah guna kuasa atau tidak, bukan untuk menekan orang yang mengemuka pandangan,” kata Anwar ketika ditemui pemberita di parlimen hari ini.

Terdahulu, Acryl memaklumkan tindakan PDRM menyimpan telefon Rafizi adalah sebahagian proses siasatan atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan analisis forensik digital dijalankan.

“Peranti berkenaan akan dipulangkan kelak setelah proses analisis dan siasatan selesai,” kata Acryl dalam kenyataan malam tadi.

Pada 3 Sept lalu, polis memanggil Rafizi untuk merakamkan kenyataannya selepas laporan polis dibuat mengenai kenyataan yang tular di media sosial yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Fungsi Khas) Abdul Latiff Ahmad.

‘Najib lebih tahu proses pengampunan'

Ketika ditanya mengenai permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan diraja atas sabitan rasuah dalam kes SRC International Sdn Bhd, Anwar berkata Najib lebih tahu mengenai proses pengampunan itu.

"Ikut proses undang-undang bila dah diselesaikan semua proses mahkamah sehingga mahkamah persekutuan, itu yang saya lalui, Datuk Seri Najib tahu kerana dia yang kenakan saya (dipenjara kerana kesalahan liwat)," katanya lagi.

Anwar juga menyatakan bahawa kerusi Parlimen Pekan yang disandang Najib selama empat dekad, sepatutnya dikosongkan.

Terdahulu hari ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata Najib telah memfailkan petisyen pengampunan pada 2 Sept, dan hanya akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen jika petisyen itu ditolak.

Anwar menerima pengampunan diraja pada 2018, tiga tahun selepas menjalani hukuman atas kesalahan liwat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS