Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

EKSKLUSIF l Bekas peguam negara Tommy Thomas, yang memulakan pendakwaan dalam kes Najib Razak, akhirnya bersuara mengenai kes berkenaan dalam satu wawancara.

Dia menceritakan mengenai perbicaraan kes SRC International secara panjang lebar, di mana bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta.

Dalam bahagian pertama daripada empat siri wawancara ini, Thomas menceritakan mengenai latar belakang kes dan bagaimana segalanya bermula. Bahagian kedua membincangkan proses perbicaraan dan kelewatan yang keterlaluan, Bahagian ketiga berkenaan keputusan Mahkamah Persekutuan dan implikasinya, dan bahagian keempat membincangkan proses pengampunan.

Selepas Pakatan Harapan diberikan mandat pada Mei 2018 dan Thomas dilantik sebagai peguam negara, beberapa ahli politik dan lain-lain individu dihadapkan dengan pertuduhan rasuah.

Selain Najib, mereka yang didakwa di mahkamah termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Abdul Azeez Abdul Rahim, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Bung Moktar Radin.

Malaysiakini: Apakah yang menyebabkan anda memilih SRC sebagai kes pertama untuk didakwa? Adakah ia yang paling mudah dari sudut perundangan?

Tommy Thomas: Pada tahap tertentu, pilihan dibuat kerana peguam perlu bergantung kepada arahan dan, dalam kes ini, kertas siasatan.

Jadi bayangkan DPP (timbalan pendakwa raya) dan saya sendiri sebagai peguam melihat dokumen yang diberikan oleh orang lain. Dalam kes ini, ia adalah siasatan SPRM, berbanding agensi lain. Dan SPRM kata fail yang mereka teliti sebelum ini adalah SRC (International). Mereka mengesahkan khabar angin yang tersebar di KL (Kuala Lumpur), iaitu ketika pendahulu saya, Abdul Gani Patail, yang dipecat pada Julai 2016, bahawa SPRM mendahului dalam siasatan SRC, jadi ia hanya menjalankan tugas tersebut.

Itu adalah faktor utama - fail itu datang kepada saya. Mujur, SRC adalah yang paling mudah untuk dibuktikan, kerana jika anda mendedahkan segala-galanya, ia hanya melibatkan kecurian RM42 juta. Jadi, ia mudah untuk dibuktikan.

Anda mengendalikan kes itu pada mulanya dan kemudian menyerahkannya kepada pendakwa luar. Apakah rasional anda memilih pendakwa luar dan bukannya individu dari dalam (Jabatan Peguam Negara)?

Antara perkara pertama yang saya lakukan ialah membentuk dua pasukan 1MDB dalam masa satu atau dua hari selepas memulakan kerja saya, (yang) dibahagikan kepada jenayah dan sivil. Itulah kedudukanya semasa kami mengendalikan pendakwaan pada 4 Julai 2018.

Dua atau tiga kemunculan awal di mahkamah adalah eksklusif dengan DPP. Dan kemudian adalah jelas bahawa kes ini mempunyai banyak dokumen. Dokumentasi yang banyak itu bagus kerana ia membantu untuk membuktikan kes, tetapi anda perlu ada peguam yang benar-benar mahir dengan dokumen ini. Dan ia bukan sekadar membaca dan cuba memahami. Anda perlu mendapatkan konteks dan mempunyai pengalaman dalam mengendalikan penipuan korporat, komersial dan penipuan kewangan. Peguam yang berpengalaman dalam menangani kes sebegini akan lebih faham dengan masalah berkenaan.

Dan itulah sebab saya memutuskan untuk mendapatkan peguam luar. Saya membuat pengumuman pada Hari Merdeka, 31 Ogos 2018, bahawa kita melantik Sulaiman (Abdullah) untuk mengendalikan SRC, dan (Gopal) Sri Ram untuk kes 1MDB dan kes lain. SRC, secara teknikalnya, bukan sebahagian daripada 1MDB. Ia adalah berasingan. Tetapi untuk rujukan mudah, semua orang meletakkannya sebagai sebahagian daripada penipuan 1MDB, tetapi ditegaskan bahawa ia bukan sebahagian daripada 1MDB.

Saya berazam untuk mendapatkan yang terbaik dan cemerlang. Pada saya, tidak kisah dari mana pun peguam itu. Perbezaan antara pihak awam dan swasta tidak masuk akal. Saya di situ bagi pihak rakyat Malaysia, dan Malaysia berhak mendapat peguam yang terbaik. Sama seperti ketika Covid-19 berlaku, tiada siapa yang mengatakan bahawa itu adalah doktor terbaik Malaysia dan ini adalah hospital terbaik Malaysia, sama ada sektor awam atau swasta, tidak sepatutnya berkerjasama demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Jadi bagi saya, itu adalah pertimbangan yang paling utama. Saya mahu mendapatkan peguam yang terbaik dan hebat.

Anda ada sebut dari sudut undang-undang, kes SRC ini adalah yang paling mudah, dan salah satu sebabnya adalah kerana dokumen-dokumennya sangat lengkap, bermakna minit mesyuarat dan penyata bank semuanya ada. Adakah ia perkara yang biasa bagi mana-mana kes jenayah atau sivil, kerana terdapat begitu banyak dokument-dokumen semasa?

Saya tak boleh pukul rata, tapi sudah tentu untuk semua kes yang saya dakwa, iaitu lima kes Najib, ahli politik lain, dan Rosmah (Mansor, isteri Najib), katakanlah ada 15 atau 20 daripada kes yang saya sendiri putuskan, ada banyak dokumen.

Apakah yang anda maksudkan dengan dokumen semasa ini?

Kita ambil contoh isu wang KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)). Jika anda ingat, SRC ialah sebuah syarikat dengan modal berbayar sebanyak RM2. Penyangak-penyangak ini perlu meminjam, dan oleh itu KWAP, dana pencen, menjadi sasaran untuk meminjamkan RM4 bilion.

Dan KWAP mengatakan atas dasar risiko kredit, mereka tidak boleh meminjamkannya walaupun RM10 kepada syarikat ini kerana ia tidak mempunyai modal berbayar dan tiada rekod prestasi. Ketika itulah KWAP diyakinkan (untuk beri pinjaman) dengan jaminan kerajaan, dan apabila jaminan kerajaan RM4 bilion masuk, ia menjadi bebas risiko.

Inilah yang berlaku, RM4 bilion itu dipinjamkan oleh KWAP, yang bertentangan dengan jaminan kerajaan.

Dokumen semasa bermaksud minit kabinet, surat yang dihantar antara SRC dan KWAP, dan minit KWAP, resolusi oleh SRC (kerana SRC adalah sebuah syarikat) dan slip pembayaran bank. Semua perkara ini disediakan oleh pegawai bank dan pegawai yang bekerja dalam kerajaan dan syarikat ini menjalankan tugas sebagai amalan biasa perniagaan mereka.

Maksud anda dokumen yang menyokong perjanjian itu?

Ya. Dan mahkamah sentiasa meletakkan keutamaan pada dokumen semasa kerana mahkamah menganggap bahawa, apabila ia disediakan oleh orang-orang ini, mereka pada peringkat itu jujur. Mereka mungkin mempunyai niat tidak jujur kemudiannya, tetapi biasanya adalah selamat untuk diandaikan bahawa apabila seseorang itu menyediakan dokumen semasa, ia adalah benar dan boleh dipercayai. Sukar untuk menentang dokumen semasa jika seseorang menandatanganinya.

Semasa melantik pendakwa luar, adakah terdapat tentangan daripada mereka dalam AGC? Pendakwa luar adalah pro bono?

Tak juga. Tiada tentangan pada peringkat awal. Sulaiman, (yang merupakan) DPP sangat disukai - ramai yang belajar daripadanya. Dan Sri Ram, yang mereka hormati, jadi tidak ada masalah dengan mereka berdua. Sulaiman dan Sri Ram mengendalikannya atas pro bono, iaitu tanpa bayaran.

Dan kemudian (V) Sithambaram tampil untuk menggantikan Sulaiman, yang tidak begitu sihat dan tidak dapat menangani kes besar seperti ini.

Pada mulanya, Sitham juga pro bono - kami membayar tambang penerbangan dan hotel, kerana dia bertugas dari Pulau Pinang. Tetapi apabila (kes) menjadi lebih kompleks dan lebih lama dari kami jangkakan, kami memutuskan untuk membayarnya. Kami membayarnya setelah separuh jalan (kes) sehingga ke Mahkamah Tinggi. Saya rasa ia diteruskan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Tidak ada bantahan langsung. Saya fikir ada bantahan, jika ada daripada AGC, adalah jika kita terus melantik lebih ramai lagi (dari luar). Jadi, dalam semua pendakwaan lain, seperti kes rogol wakil rakyat DAP di Ipoh, kes anak perempuan Chandra Muzafar, kes bas Johor Bahru, beberapa inkues, yang mempunyai nilai berita (ada yang saya kendalikan) semuanya dikendalikan oleh DPP.

Pada permulaan pendakwaan kes SRC Najib, saya ingat anda mahu mengadakan sidang akhbar selepas setiap prosiding, tetapi kemudian anda putuskan untuk berhenti apabila terdapat ramai penyokong Najib mengganggu sidang akhbar anda. Saya masih ingat masa anda berhenti, tetapi pada masa yang sama, (Muhammad) Shafee (Abdullah - peguam Najib) dalam setiap prosiding, banyak menyatakan pendapat mereka tentang apa yang dilakukan oleh hakim. Dari sudut pandangan anda, adakah sidang akhbar Shafee sekali gus mempengaruhi pendapat orang ramai?

Secara tradisinya, peguam tidak suka bercakap tentang kes mereka. Malah, terdapat larangan ke atas peguam bercakap tentang kes mereka. Dan DPP semuanya sangat konservatif dan berhati-hati, dan tidak mahu bercakap tentang kes mereka, jadi itulah yang berlaku untuk kes biasa.

Tetapi dalam kes kepentingan negara seperti ini (dan tidak ada kes lain yang mempunyai kepentingan awam yang lebih besar daripada seorang bekas perdana menteri yang didakwa), tuntutan berkaitan kepentingan awam adalah sangat tinggi. Kedua, seperti yang anda katakan, Shafee dan pasukan peguamnya selalu mengadakan sidang akhbar, jadi kami fikir jika kami tidak balas, mereka mungkin dengan mudah memenangi perdebatan awam. Kami tidak mahu menyerah diri dari aspek pendapat umum.

Jadi itulah sebabnya kami memutuskan untuk mengadakannya (sidang media). Dan kami membincangkannya dengan pasukan kami, tetapi tiada seorang pun daripada DPP mahu mengadakan sidang media. Saya kata, saya akan lakukannya dulu dan sebarkannya, kerana saya tidak pernah suka bercakap tentang kes saya. Jadi saya melakukannya sekali dan, sudah tentu, diganggu kerana saya tidak bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan itu mempercepatkan keputusan saya untuk tidak mengulas secara terbuka lagi.

Dan kemudian kami berjaya meyakinkan Sitham. Jadi Sitham mengambil alih dan melakukannya sepanjang masa, untuk menceritakan versi pendakwaan tentang apa yang berlaku setiap hari, jadi media mendapat kedua-dua (versi). Kemudian terpulang kepada media untuk memutuskan apa yang mereka mahu. Itulah yang berlaku.

Adakah terdapat sebarang kesulitan tertentu dalam mendakwa Najib? Apa-apa yang menimbulkan kesulitan, memandangkan ini adalah bekas perdana menteri, ahli politik kanan, bekas presiden Umno?

Kami sangat jelas dalam fikiran kami, iaitu, pasukan undang-undang, bahawa ini hanyalah seperti kes lain, dan menganggapnya seperti itu. Tidak kira siapa yang dituduh.

Saya berkata demikian semasa ucapan pembukaan dalam perbicaraan - dan setiap kali saya bercakap mengenainya, saya menekankan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah relevan. Perkara 8(2) membicarakan tentang kesaksamaan semua rakyat Malaysia (dan warganegara luar yang tinggal di Malaysia) dilayan sama rata di bawah undang-undang.

Dan sebaik sahaja anda bersetuju, ia adalah asas kepada kes kami dan sepanjang persediaan kami dan pembentangan kami, dia tidak ada beza daripada mana-mana tertuduh yang lain. Dia dan peguamnya mungkin bercakap tentang hak-hak, tetapi apa yang kita tumpukan, dia sama seperti tertuduh lain.

Adakah anda berada di bawah tekanan politik?

Tidak. Sama sekali tidak, kami diberi kebebasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS