Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak rayuan Azeez batal 9 tuduhan rasuah, ubah wang haram
Diterbitkan:  Sep 5, 2022 11:55 AM
Dikemaskini: 7:45 AM

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sembilan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said bersama Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu secara sebulat suara bahawa sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadap Azeez adalah tidak cacat.

Bagaiamanapun, mahkamah yang sama bersetuju membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram terhadap pemimpin Umno dan bekas pengerusi Tabung Haji itu.

Dalam keputusan itu, Hakim Abu Bakar melepas dan membebaskan Abdul Azeez bagi pertuduhan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan selepas menarik balik pertuduhan itu yang tidak menyatakan lokasi sebenar kesalahan dilakukan dan hanya dinyatakan di Lembah Klang.

Hakim juga berkata tiada pendakwaan politik terhadap Ahli Parlimen Baling itu.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan Azeez bahawa pertuduhan yang difailkan terhadapnya dilakukan secara mala fide (niat jahat). 

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan bersambung dan sebutan kes ditetapkan pada 7 September ini.

Setakat ini mahkamah telah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Azeez, 55, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada Menuju Asas Sdn Bhd. 

Dia merayu terhadap tuduhan itu, dengan alasan bahawa ia dilakukan dengan niat jahat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Dia membuat rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin yang pada 12 Mac 2021 yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguamnya Amer Hamzah Arshad berkata Mahkamah Rayuan mendapati berlaku percanggahan dalam satu laporan analisis kewangan yang dihasilkan oleh pegawai penyiasat SPRM.

Analisis SPRM menyatakan dana berkenaan datang daripada "imbuhan yang sah".

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan berkata ia adalah untuk mahkamah yang menetukannya, justeru perbicaraan akan bersambung di mahkamah sesyen.

Amer Arshad berkata ini adalah ketara kerana pasukan peguam Azeez telah membuat representasi kepada Peguam Negara mengenai perkara berkenaan untuk menunjukkan bahawa pertuduhan itu adalah cacat dan harus digugurkan.

Bagaimanapun, Peguam Negara masih belum menjawab permohonan representasi mereka, katanya.

“Kami harap selepas dengar nasihat Mahkamah Rayuan, ami harap AG (Peguam Negara) akan pertimbangkan dan buat keputusan.

“Kami sudah tekankan pada AG bahawa ada percanggahan iaitu status wang yang diterima Adatuk Seri Azeez.

“Kita terima keputusan Mahkamah Rayuan...kita akan bersedia dengan langkah-langkah seterusnya. Kami akan teruskan dengan representasi itu,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS