Ketua Penerangan Umno Kedah Suraya Yaacob membidas PAS kerana menyalahkan kepimpinan Umno kerana tidak hadir Muktamar PAS.
Ini selepas pegawai khas menteri besar Kedah Zulkifli Yahaya tampil mempertahankan PAS berhubung isu jemputan kepada pemimpin Umno untuk menghadiri muktamar parti mereka.
Menurut Zulkifli, dia sendiri menyerahkan jemputan berkenaan kepada Suraya.
Bagaimanapun, Suraya yang juga ketua Umno Pendang berkata, jemputan yang diterimanya hanyalah atas kapasiti exco kerajaan negeri Kedah dan langsung tidak melibatkan kapasiti kepimpinan Umno.
Malah, katanya, ketika berbual dengan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 1 September lalu di suatu acara, tiada langsung disebut tentang sebarang jemputan kepada kepimpinan Umno di peringkat pusat mahupun negeri Kedah ke muktamar berkenaan.
"Justeru itu, saya menasihatkan PAS agar lebih ikhlas dan bercakap benar kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan Umno ke Muktamar PAS 2022 ini.
"Usah diputar belit, berlagak suci atau 'play victim' dalam soal ini, dan mengelirukan orang ramai mengenai hal sebenar yang berlaku dengan menyalahkan kepimpinan Umno," katanya.
Suraya juga menambah bahawa sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, dia tidak pernah sekalipun hadir ke mana-mana Muktamar Tahunan PAS, mahupun mesyuarat di peringkat PAS kawasan mahupun negeri Kedah.
"Peliknya, pada tahun 2022 ini kecoh pula tentang kononnya tidak seorang pun kepimpinan Umno hadir pada Muktamar PAS?
"Bagaimana kepimpinan Umno hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti? Apakah kerana kekecohan tersebut sengaja PAS cetuskan gara-gara PRU15 yang hampir tiba?" soalnya.
Isu jemputan ke muktamar itu menjadi perdebatan selepas Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom, menafikan pihaknya dihubungi dan dipelawa menghadiri muktamar yang akan berakhir hari ini.
Penafian itu dibuat selepas Takiyuddin mendakwa partinya ada menjemput pimpinan utama Umno untuk hadir ke acara itu, namun tiada seorang pun wakil daripada Umno hadir termasuk pimpinan dari Kedah.
Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang bermula 2 Sept lalu, berakhir semalam.