Satu kerugian buat Umno jika Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata ahli majlis tertinggi parti itu, Reezal Merican Naina Merican.
Khairy semalam menyatakan dia akan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang juga ketua bahagian Rembau untuk bertanding di parlimen itu dan tiada kerusi pengganti yang disediakan untuk dirinya setakat ini.
Reezal - yang merupakan menteri belia dan sukan - berkata walaupun Khairy lantang, dan sering memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza, ia tidak bermakna pandangannya betul semuanya atau salah semuanya.
"Khairy juga dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama.
"Perubahan demografi pengundi pasca Undi18 ini juga dilihat cukup dinamik dan Khairy mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat Umno dan BN," kata Reezal dalam catatan Facebook malam tadi.
Khairy - yang memegang kerusi Rembau sejak 2008 - semalam berkata bahawa dalam senario terburuk, dia mungkin tidak akan bertanding PRU15.
Katanya, dia telah diminta mencari kerusi lain untuk bertanding, tetapi tidak mahu menceroboh kawasan orang lain.
Pemuda Umno Seremban bagaimanapun mempunyai cadangan agar Khairy bertanding di kawasan mereka.
Ketua Pemuda bahagian Zool Amali Hussein mencadangkan Khairy bertanding di Seremban - kerusi yang secara tradisinya ditandingi oleh MCA dan merupakan kubu kuat DAP.
Parlimen Seremban kini disandang oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang memenangi kerusi itu pada 2013.
“Saya amat menggalakkan Khairy bertanding di Seremban kerana terdapat peningkatan pengundi muda dan Melayu,” katanya.
Kali terakhir BN memegang Seremban, sebuah kerusi campuran bandar, adalah pada 2004.