MUKTAMAR PAS | PAS mempertahankan dakwaan bahawa mereka mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertentu dalam Umno dan ia menunjukkan perkembangan positif.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, juga menegaskan pemimpin yang dimaksudkan itu mempunyai kedudukan tertentu dalam Umno dan diyakini mampu membawa mereka ke arah perbincangan lebih rasmi.
Bagaimanapun ahli parlimen Kota Bharu itu enggan mendedahkan identiti pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu.
Katanya, pemimpin Umno terbabit merupakan ada jawatan dalam parti dan berada pada kedudukan yang wajar untuk berbincang dengan PAS.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata perbincangan itu tidak semestinya dengan pemimpin-pemimpin tertentu dan mungkin akan sampai masanya ke arah itu.
"Biasalah, kami buat perundingan ini di peringkat tertentu, yang tak perlu kita dedahkan, tapi saya mengesahkan bahawa kami ada berbincang secara rasmi, dan tidak rasmi pun ada berbincang," katanya kepada media ketika ditemui sebaik berakhirnya Muktamar PAS ke-68 di Alor Setar, hari ini.
Tambah Takiyuddin, walaupun pemimpin terbabit tidak boleh membuat keputusan untuk Umno, dia masih boleh mempengaruhi parti terbabit untuk ke meja rundingan secara rasmi.
Optimis akan berjaya
Dia yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan, yang menafikan wujudnya rundingan di antara PAS dan Umno.
Sebelum itu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, ada mendedahkan rundingan mereka dengan Umno masih berterusan di sebalik penegasan berkali-kali parti terbabit akan bergerak solo bagi menghadapi PRU akan datang.
Bagaiamanpun Abdul Hadi memberi gambaran yang rundingan tersebut berlaku di luar pembabitan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut Takiyuddin berkata dalam politik sesuatu rundingan tidak semestinya terus secara rasmi sahaja.
Apa yang penting sekarang, katanya, PAS melihat kehendak ahli kedua-dua parti dan yakin mereka memang mahukan kerjasama berbanding bergerak sendirian.
Katanya PAS akan terus berunding selagi parlimen tidak dibubarkan.
"Saya sendiri dan beberapa pimpinan menerima mandat daripada parti untuk terokai, cuba apa juga cara yang terbaik. Pokoknya PAS konsisten dengan agenda penyatuan ummah.
"Dengan PN (Perikatan Nasional) pun kita penyatuan ummah, dengan Umno pun sama.
"Mungkin akan sampai satu masa, saya optimis akan ada perbincangan secara rasmi," katanya.