Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia pandang serius kes terbaru majikan dera amah

Kementerian Luar Negeri sudah menghubungi kerajaan Indonesia bagi menzahirkan rasa sedih dengan kejadian dera terbaru membabitkan amah dari negara itu.

Menterinya, Saifuddin Abdullah berkata, dia menghubungi rakan sejawatnya, Retno Lestari Priansari Marsudi pagi tadi bagi menyatakan rasa simpati dengan kejadian berkenaan.

Katanya lagi, kerajaan Malaysia juga memberi jaminan keadilan dalam kes itu akan diberi keutamaan dan memberi bantuan sewajarnya bagi mempercepatkan siasatan.

"Pagi tadi saya berhubung dengan ibu Retno Menteri Luar Indonesia untuk menyampaikan rasa simpati dan terkilan saya atas kejadian ini dan ibu Retno meminta supaya keadilan dapat ditegakkan.

"Saya memberi tahu beliau bahawa memang kerajaan Malaysia memandang serius hal sedemikian, kita bagi peluang kepada pihak berkuasa khususnya pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan tindakan yang selanjutnya.

"Kita memang dari segi kerajaan kita mahu supaya tindakan segera diambil dan pihak yang bertanggung jawab itu dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.

Saifuddin juga memberitahu pihaknya sudah menerima jaminan daripada Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani untuk memberi keutamaan kepada siasatan kes berkenaan.

Semalam, media melaporkan pihak polis menahan seorang wanita disyaki mendera amah warga Indonesia di sebuah rumah di Batu Caves, Selangor.

Tangkapan dibuat ke atas suspek berusia 35 tahun itu susulan aduan diterima polis daripada mangsa 31 Ogos lalu.

Mangsa dikatakan melarikan diri dari kediaman majikannya itu sebelum tampil membuat laporan jam 5 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mula bekerja dengan pasangan suami isteri itu pada Oktober 2019 dan sejak itu sering dipukul.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Akta Anti pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menteri Sumber Manusia, S Saravanan pada 2 September mendedahkan, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kes berkenaaan dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja, tidak kira warga tempatan mahupun asing kerana ia menjejaskan imej negara.

Dia turut memberi amaran identiti majikan disyaki menindas dan mendera pekerja, termasuk pekerja asing akan didedahkan kepada umum selain berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS