Muhyiddin Yassin disindir sebagai cuba menggantikan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai “kaki pusing” di arena politik berikutan kenyataan bercanggah dalam isu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ini selepas Muhyiddin semalam berkata Perikatan Nasional (PN) sedia menerima keputusan rakan sekutunya PAS untuk menolak kerjasama dengan PH.
Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat menyifatkan Muhyiddin sebagai cuba menukar skrip.
"Najib dikenali sebagai kaki pusing di media sosial kerana kebolehan beliau memutarbelitkan segala fakta untuk menutup kekurangan atau kesilapannya, malahan para penyokong beliau akan menyokong secara membabi buta tanpa berfikir sama ada kenyataan tersebut betul atau tidak.
"Selepas Najib masuk ke dalam penjara, adakah Muhyiddin ingin ambil alih kerja Najib sebagai kaki pusing di arena politik tanah air," katanya.
Dia berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang berkata pihaknya terbuka dengan keputusan sekutunya, PAS yang menolak kerjasama dengan PH.
Mengulas lanjut, Chua berkata tawaran kerjasama oleh PN telah ditolak mentah-mentah oleh PH, melalui Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.
"Saya minta Muhyiddin jangan hina kebijaksanaan rakyat, mereka mengetahui isu politik semasa di Malaysia, rakyat sangat faham kenapa idea PN mahu bekerjasama dengan PH akan timbul.
"Hal ini kerana Muhyiddin bimbang dengan perkembangan politik yang tidak menguntung pihak PN, mereka mengetahui risiko kalah besar termasuk kerusi Pagoh yang dipegang oleh Muhyiddin, disebabkan sentimen rakyat menolak gabungan 'katak' ini semakin kuat," katanya.