Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar gesa polis henti intimidasi terhadap Rafizi
Diterbitkan:  Sep 4, 2022 3:06 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani menghentikan tekanan dan gangguan terhadap Rafizi Ramli.

Gesaan itu dibuat selepas polis merampas telefon bimbit timbalan presiden PKR itu ketika dia memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad semalam.

"Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Tegas Anwar, pihak polis juga harus berlaku adil dalam menjalankan siasatan berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) termasuk menyiasat Abdul Latiff.

"Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan," katanya.

Semalam Rafizi hadir bagi memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas laporan polis dibuat oleh pembantu Abdul Latiff pada 30 Ogos lalu.

Rafizi sebelum ini mendakwa Abdul Latiff dan ahli keluarganya terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek LCS dengan memetik laporan audit forensik yang diarahkan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC).

Ia merupakan salah satu daripada dua laporan audit LCS yang diterima oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan dinyahklasifikasikan oleh kabinet.

Abdul Latiff bagaimanapun menafikan dia mempunyai peranan dalam projek itu dan ahli keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Abdul Latiff juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh seperti didakwa Rafizi.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan timbalan setiausaha agung DAP, Liew Chin Tong turut menggesa pihak polis menumpukan perhatian kepada siasatan projek LCS dan bukannya Rafizi.

Menurut mereka, siasatan polis adalah berkenaan butiran yang didedahkan Rafizi daripada bahagian yang dipadamkan dalam laporan audit forensik berkenaan.

“Sepatutnya laporan yang telah dinyahklasifikasikan harus disiarkan secara lengkap tanpa mana-mana maklumat atau bahagian yang dipadamkan.

 “Yang harus disiasat oleh polis bukannya Rafizi, tetapi mereka yang melakukan jenayah rasuah,” katanya dalam kenyataan bersama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS