PAS MUKTAMAR | Seorang perwakilan Muslimat PAS menyuarakan sokongan mereka terhadap dua rang undang-undang (RUU) yang diluluskan baru-baru ini, iaitu Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 dan Akta Antigangguan Seksual 2022.
Siti Mastura Muhammad yang juga ketua sayap Ameerah PAS berkata kedua-dua akta terbabit berkesan untuk memberikan lebih perlindungan kepada golongan wanita.
"Kita melihat langkah kerajaan melaksanakan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk suri rumah dan Akta Antigangguan Seksual sangat-sangat membantu dan kami sangat-sangat berterimakasih.
"Kita melihat skim caruman isi rumah ini bukan saja mampu meluaskan jaringan sosial masyarakat, bahkan faedahnya dapat dinikmati oleh suri rumah yang telah banyak berkorban untuk kelangsungan rumah tangga," katanya semasa membahaskan ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di Kota Sarang Semut, Kedah, petang tadi.
Untuk rekod, Ameerah merupakan salah satu sayap PAS yang menangungi golongan wanita yang berusia di bawah 40 tahun.
Kata Siti Mastura, caruman bulanan yang ditetapkan itu, walaupun RM5 saja - dan RM60 setahun - golongan suami perlu memberi perhatian kepadanya dan melakukan caruman untuk isteri mereka yang banyak berkorban.
Mengulas Akta Antigangguan Seksual, timbalan ketua Muslimat PAS Pulau Pinang berkata, kes keganasan domestik melibatkan maruah dan nama baik seseorang dan ia adalah antara asas yang dipandang tinggi dalam Islam.
Tambahan pula, katanya, kes-kes sebegitu turut memberi kesan kepada kehidupan banyak pihak, termasuk mangsa, pelaku dan keluarga masing-masing.
Perubahan itu, menurut Siti Mastura, boleh berlaku sekelip mata saja dan mereka mendapat aib kerananya.
"Justeru dari sudut pelaksanaan, dicadangkan supaya tribunal antigangguan seksual agar didukung oleh anggota yang ada latar belakang undang-undang Islam dan juga fikrah Islam.
Dia juga menjelaskan Ameerah memberi perhatian kepada isu orang muda dan mencadangkan agar kerajaan memadamkan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bagi belia yang mengambil pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Ini akan membantu golongan belia memulakan kehidupan mereka, dan kedua, kami berharap langkah yang sama dapat diambil oleh semua tabung pendidikan negeri," katanya.
Siti Mastura yang bertanding - dan tewas - di kerusi parlimen Kepala Batas pada PRU 2018 juga menggesa pemimpin PAS menyokong usaha memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda serta wanita untuk menjadi calon dalam PRU akan datang.