Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: 'Dah 5 telefon dirampas, ada nak bagi Iphone baru kat aku?'
Diterbitkan:  Sep 3, 2022 6:12 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli telah memberikan keterangannya kepada polis petang ini berhubung dakwaannya yang dikaitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.

Ini selepas laporan polis dibuat oleh pembantu Latiff pada 30 Ogos, yang memetik catatan blog Rafizi yang turut dikongsi di Facebook dan Twitter milik Latiff.

Rafizi, di bawah siasatan kerana fitnah jenayah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian, merekodkan keterangannya di ibu pejabat polis daerah Sentul pada jam 3 petang tadi dan diiringi tiga peguam.

Dia disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Rafizi berkata dia tidak boleh mendedahkan banyak maklumat mengenai kes itu kerana ia masih berterusan.

Dia berkata dia dilayan dengan baik oleh polis kerana mereka tahu dia seorang "veteran" semasa disiasat.

Bagaimanapun, Rafizi memberitahu pemberita bahawa polis telah mengambil telefon bimbitnya sebagai sebahagian daripada siasatan.

"Ada orang nak bagi Iphone baru kat aku," soalnya berseloroh kepada pemberita.

"Ini telefon kelima yang dirampas oleh polis sejak 2011," kata Rafizi yang hadir beri keterangan susulan kenyataannya mendakwa menteri terbabit isu LCS.

"Itu proses biasalah. Selalunya kalau ada kes yang bersabit dengan Akta Komunikasi dan Multimedia, selalunya polis akan mengambil telefon sebagai barang bukti.

"...bergantung ada yang dapat balik, ada yang tidak. Itu proseslah," katanya.

Rafizi sebelum ini menuduh Latiff dan ahli keluarganya mendapat manfaat daripada projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan.

Bekas ahli parlimen Pandan itu juga menegaskan Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwanya terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek LCS.

Dalam laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu'izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap berpegang atas dakwaannya walaupun menteri telah membuat penjelasan.

Antara lain, Sayed mengulangi dakwaan menteri itu bahawa Rafizi mengelirukan orang ramai dengan memetik draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya.

Sayed berkata Rafizi tidak mengendahkan penafian yang terkandung dalam laporan yang menyatakan bahawa juruaudit tidak dapat menilai kesahihan tuntutan yang dibuat oleh orang yang terlibat dalam projek itu.

Pada 26 Ogos, Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan ahli keluarganya tidak mempunyai sebarang kontrak pertahanan semasa menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh dan sebarang tindakan individu berkenaan tidak ada kena mengena dengannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS