Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Penerima PerantiSiswa tak perlu pulang tablet

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa semua penerima tablet di bawah inisiatif kerajaan PerantiSiswa tidak perlu memulangkannya semula.

“Pada hari ini sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet ini kepada pelajar.

“Jadi tak perlu pinjam, tak perlu pulang balik…kerajaan berikan terus kepada penerima.

“Pemberian hari ini adalah sebagai penghargaan dan adalah diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima peranti siswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UiTM, Shah Alam hari ini.

Peranti berjenama Samsung Galaxy itu akan diberikan kepada 400,000 penerima pelajar B40 di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan dalam masa terdekat.

Seramai 450 pelajar dari zon tengah Fasa 1 menerima peranti tersebut hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pemberian itu diberikan kepada empat kategori pelajar B40 iaitu pelajar program asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pelajar program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), pelajar semester 1 dan 2 sekolah menengah (Tingkatan 6) di bawah KPM dan pelajar yang mengikuti program di Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian diploma.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang turut hadir pada majlis yang sama, menepis kritikan beberapa pihak sebelum ini bahawa program itu tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Tidak kurang juga bagi mereka yang tak sabar, menyindir kerajaan bahawa (ia) hanya satu lip service tapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran dan pelaksanaan kerajaan sebesar ni hendaklah dijalanakan dengan cermat dan hari ini,” katanya sambil mempertahankan inisiatif kerajaan itu dengan menekankan bahawa jenama terbaik di pasaran dipilih untuk inisiatif tersebut.

“Bukan OEM…Bukan sepertimana peranti-peranti pada masa lalu dan peranti ni bila diberikan pada siswa siswi, tak perlu risau, asalkan jaga dengan baik.

“Kalau rosak, hantar saja di pusat gantian dan akan dapat terus, dapat yang lain… Pelajaran tak terganggu kalau terkena banjir musibah juga tak perlu risau kerana peranti lain akan diberikan secara berterusan. Asalkan jangan jual ke Low Yat,” katanya.

Sebelum ini, kualiti tablet percuma yang diberikan kepada pelajar universiti keluarga B40, mengikut program PerantiSiswa berjumlah RM450 juta dipersoalkan oleh netizen dan ahli-ahli politik.

Ia selepas Annuar yang mempamerkan tablet berkenaan dilengkapi dengan papan kekunci dan stylus di media sosialnya sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS