Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata amalan rasuah tidak hanya terhad kepada penganut agama atau bangsa tertentu saja.
Katanya realiti yang berlaku sekarang ialah amalan tersebut dilakukan oleh semua kumpulan dan berleluasa.
Justeru, Muhyiddin berkata, isu tersebut tidak perlu didebatkan atau dikaitkan dengan mana-mana kumpulan serta penganut tertentu.
"Rasuah sudah agak berlaku berleluasa, orang bukan Islam ada melakukan rasuah, yang Islam pun ada rasuah.
"Saya rasa mungkin ia tdak perlu orang debatkan. Realitinya itu yang sedang berlaku," katanya kepada media selepas menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-68 di Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.
Sebelum itu pengerusi PN berkenaan diminta mengulas kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 20 Ogos lalu yang mengaitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai golongan terbesar melakukan rasuah di negara ini.
Ia kemudian mengundang kritikan pelbagai pihak.
Menurut Muhyiddin, oleh kerana amalan rasuah yang meluas sekarang PN bersikap jelas bagi mengekang amalan tersebut.
"PN mengambil pendekatan yang tegas - segala yang kita pegang kuat (sebagai dasar) ialah menolak salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan. Itu yang kita putuskan sejak awal," katanya.
Sementara itu Abdul Hadi sendiri yang ditanya mengenai isu berkenaan, enggan memberikan komen lebih lanjut, sebaliknya hanya berkata isu tersebut akan dijawab di mahkamah.
Katanya sebelum ini dia sudah memberikan keterangan kepada polis ekoran laporan yang dibuat ke atasnya.
Abdul Hadi juga memberitahu dia memilih untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa di Bukit Aman walaupun polis menawarkan untuk proses tersebut diadakan di tempatnya.
"Saya sudah pergi ke Bukit Aman walaupun ditawarkan mereka (polis) nak datang ke pejabat.
"Saya pilih pergi ke Bukit Aman dan berjumpa dengan pegawai polis," katanya.