Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam PRU akan datang, termasuk berdepan dengan pertembungan pelbagai penjuru.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, bahkan berkata pertembungan banyak penjuru itu mungkin memberi keuntungan kepada gabungan berkenaan terutama melihat kepada kecenderungan pengundi muda.

Katanya PN sedar pilihan yang lebih baik ialah memastikan persaingan satu lawan satu, namun dia bersikap realistik apabila pemuda gabungan itu menolak sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan (PH).

Justeru kata bekas perdana menteri itu, PN bersedia berdepan dengan saingan tiga atau empat penjuru.

"Kita tau pesanan komuniti muda... agak ramai kita nampak cenderung tolak klepoklasi dan salah guna kuasa.

"Dengan itu tiga penjuru, 10 penjuru pun, dengan pengalaman yang ada kita akan hadapi realiti politik, insya-Allah," katanya kepada media di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.

Muhyiddin hadir sebagai tetamu kehormat Muktamar PAS ke-68 yang berlangsung sehingga esok.

Sebelum ini ahli parlimen Pagoh itu melontarkan cadangan agar PN berunding dengan PH bagi menghadapi BN dalam PRU akan datang. Bagaimanapun ia ditolak dengan tegas oleh PAS.

Diminta mengulas penegasan dibuat Pemuda PAS mengenai sikap mereka enggan berunding dengan PH, Muhyiddin berkata, ia membuktikan keterbukaan PN.

Pada masa sama, ahli parlimen Pagoh itu berkata, sebarang keputusan dalam PN dibuat secara rundingan bersama.

"Dengan itu apa pun situasi atau keadaan, PRU ini mungkin nampak akan berlaku pertembungan beberapa penjuru.

"Kami ada strategi dan pasukan yang cukup untuk mencapai kemenangan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS