Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Dewan Ulama PAS secara sebulat suara menerima usul menolak sebarang kerjasama dengan PH dan mengusahakan pertandingan satu lawan satu pada PRU ke-15.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan wakil Kelantan, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail (gambar), dan diterima untuk dibawa ke Muktamar PAS ke-68 yang akan mula berlangsung esok.

Dalam usul tersebut Dewan Ulama PAS diminta memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu-Islam dapat disatukan di bawah agenda penyatuan ummah.

"Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksana bagi mengelak pertembungan sesama sendiri di kawasan majoriti pengundi Melayu supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH.

"Seterusnya menolak sebarang kerjasama politik dengan PH dalam PRU ke-15 nanti," kata Tuan Mohd Saripuddin ketika membentangkan usul pada Muktamar Dewan Ulama PAS ke-61 di Guar Chempedak, Kedah hari ini.

Wakil Dewan Ulama PAS Pahang, Nasrudin Hassan, tampil menyokong usul berkenaan.

Dalam ucapannya Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata dalam situasi politik semasa, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru perkiraan atas kertas menunjukkan PH boleh mencatat kemenangan besar.

"PAS akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan PH tidak kembali ke tampuk pemerintahan.

"Pengalaman 22 bulan di bawah pemerintahan PH, rakyat sudah merasai pengalaman yang cukup perit," katanya.

Sehubungan itu dia antara lain menyeru perwakilan agar mempamerkan sikap yang selari dengan usul tersebut.

"Jangan kita sebut kita nak menyatukan ummah melibatkan Umno, Bersatu dan sebagainya. Tetapi dalam jiwa kita, dalam kenyataan kita, sama ada kepada media atau di media sosial kita menunjukkan sikap yang tidak menyatukan," katanya.

Usul tersebut kemudian dibuka untuk perbahasan. Bagaimanapun seluruh perwakilan sebulat suara menerima usul tersebut tanpa dibahaskan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS