Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Terbengkalai 19 tahun - projek flat Taman Mount Austin

Pembeli unit kediaman flat Taman Mount Austin, di Johor Bahru, merayu agar kerajaan negeri atau pihak berwajib campur tangan dalam menyelesaikan masalah projek perumahan itu yang terbengkalai sejak 19 tahun lepas.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Taman Mount Austin Suhaini Mat Isa berkata projek perumahan swasta sejak 2003 yang dijual RM50,000 seunit itu secara keseluruhannya mempunyai 10 buah blok yang melibatkan 911 unit, namun enam blok iaitu 510 unit masih terbengkalai sehingga kini.

Beliau berkata banyak pertemuan dibuat dengan pemaju, namun pemaju tidak memberi alasan yang jelas, dan hanya memberikan janji akan menyiapkan projek itu.

“Projek ini terbengkalai sejak 19 tahun lepas, blok yang belum siap adalah blok 1,2 dan 4, manakala blok 3,5 dan 7 pula pemaju dakwa tidak mahu bina.

“Pemaju memberi alasan bahawa tiada pembeli di blok itu (blok 3,5 dan 7) tetapi pembelinya ada dan masih wujud, malah ada juga yang sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media ketika ditemui di flat itu, di Johor Bahru hari ini.

Suhaini berkata satu pertemuan juga telah dilakukan pada 2019 antara wakil rakyat, pemaju dan agensi kerajaan pada 2019 dan menerusi pertemuan itu, pemaju berkenaan berjanji akan menyiapkan projek itu secara berperingkat, namun tiada tindakan sehingga kini.

Beliau berkata penduduk di empat buah blok yang telah siap dibina juga berdepan dengan pelbagai masalah, termasuk isu penyelenggaraan serta tungakan bil air dan elektrik yang tidak dilunaskan pemaju.

Tambahnya pada Jun lepas, persatuan penduduk turut menerima notis tunggakan bil air sebanyak RM13,000 dan lebih RM90,000 bil elektrik, serta pernah mengalami gangguan bekalan air dan elektrik pada bulan sama.

“Tidak diketahui asal usul bagaimana ada tunggakan ini kerana setiap unit rumah ada meter bil air dan elektrik masing-masing dan kami bayar sendiri, tunggakan ini akan memberi kesan kepada penduduk (sekiranya tidak dibayar pemaju),” katanya.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz (gambar, bawah) menggesa agar isu itu diambil perhatian serius memandangkan pembeli adalah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut menggesa agar kerajaan negeri dapat campur tangan bagi meneliti projek perumahan itu.

Amira Aisya berkata beliau juga akan mengadakan lagi pertemuan dengan pembeli pada minggu hadapan dan akan membawa isu itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS