Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan LCS: Peguam negara digesa jelaskan bahagian disunting
Diterbitkan:  Sep 2, 2022 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Peguam Negara Idrus Harun untuk menyemak dan menjelaskan bahagian yang telah disunting dalam laporan audit forensik mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Lim merujuk kepada dua laporan yang didedahkan baru-baru ini iaitu laporan audit yang disediakan oleh jawatankuasa Perolehan, Tadbir Urus dan Kewangan yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan laporan audit forensik perolehan LCS oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd.

“Ini adalah untuk menggambarkan bahawa kerajaan kini bertindak mengikut norma tadbir urus yang baik dan tidak bertindak sewenang-wenangnya, yang menjadi punca skandal terbaru dalam negara – skandal LCS RM9 bilion, yang sedang menjadi skandal 1MDB yang baru,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu turut menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein supaya membentangkan kenyataan kementerian di Dewan Rakyat apabila bersidang semula pada 3 Okt.

Lim berkata Hishammuddin perlu menjelaskan bagaimana Kementerian Pertahanan melaksanakan syor yang disenaraikan dalam laporan itu.

“Walaupun kedua-dua laporan itu banyak disunting, pembacaan kedua-dua laporan itu akan menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Najib Razak, yang mesti memikul tanggungjawab penuh untuk skandal perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia kerana melakukan kesilapan yang serius dalam tugasnya untuk menjaga kepentingan tentera dan bekas tentera serta terhadap negara.

“Kita sepatutnya mempunyai lima LCS dalam Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara tetapi disebabkan skandal LCS RM9 bilion, Malaysia telah dibiarkan terdedah.

"Walaupun dengan suntingan pada laporan berkenaan, pembacaan sub-tajuk laporan akan menunjukkan kesimpulan bahawa terdapat salah guna kuasa dan pecah amanah," katanya.

Lim menyenaraikan beberapa bahagian subtajuk dalam laporan audit forensik setebal 104 muka surat, yang telah disiapkan pada Julai 2020 dan dinyahklasifikasikan pada 22 Ogos tahun ini.

Laporan forensik itu adalah yang kedua daripada dua laporan audit yang diarahkan oleh kabinet untuk dinyahklasifikasi pada 10 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS