mk-logo
Berita
Rosmah bersalah: 4 perkara utama dalam keputusan hakim
Diterbitkan:  Sep 2, 2022 9:58 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Semalam, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Rosmah Mansor ke atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah kes projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Dia didapati bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Untuk itu, Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta (lebih lima kali nilai suapan yang diminta dan diterima). Jika dia gagal melunaskannya, dia perlu menjalani hukuman penjara 30 tahun lagi.

Susulan keputusan semalam, mahkamah mengeluarkan alasan umum (broad grounds) bagi keputusan Mohamed Zaini. Berikut adalah ringkasan isu-isu utama yang dibangkitkan hakim.

Karakter tercemar

Tiga saksi pendakwaan menjadi saksi utama dalam perbicaraan ini. Individu pertama adalah Rizal Mansor yang merupakan pembantu Rosmah Mansor ketika hal ini berlaku.

Rizal didapati meminta suapan bagi pihak Rosmah daripada dua lagi saksi utama - Saidi Abang Samsudin dan Rayyan Radzwill Abdullah.

Saidi adalah pengasas Jepak Holdings. Dia dan Rayyan adalah rakan niaga walaupun Rayyan tiada kepentingan dalam Jepak Holdings.

Rizal Mansor

Mohamed Zaini menyatakan Rizal dan Saidi adalah "karakter tercemar". Ini kerana Saidi memulakan rasuah sementara Rizal secara terbuka mengaku menerima rasuah daripada Saidi.

"Rizal dan Saidi sebagai karakter tercemar tidak bermakna bukti mereka perlu ditolak sepenuhnya.

"Karakter yang buruk masih mampu menyatakan kebenaran, namun apa yang penting adalah takat kebenaran (yang dinyatakan)," katanya.

Rosmah 'kuasai' Najib

Antara bukti yang dikemukakan pendakwaan adalah rakaman audio yang menunjukkan Rosmah yang sedang marah berkata "can I advise you something?" kepada Najib.

Hakim berkata dalam keterangan Rosmah, dia tidak pernah "menyatakan dengan tegas" bahawa suara dalam rakaman itu bukan miliknya dan Najib.

Sebaliknya Rosmah cuba untuk menyifatkan perbualan itu sebagai perbincangan biasa antara suami isteri.

"Namun ia bukan perbualan biasa antara pasangan kerana ia berkatan hal ehwal kerajaan.

"Jelas daripada rakaman audio itu bahaw tertuduh memberi arahan kepada Najib dalam hal ehwal kerajaan.

"Nadanya bersifat memerintah dan bertentangan dengan hujahnya bahawa dia akur dengan larangan Najib agar tidak masuk campur dalam hal ehwal kerajaan.

"Saya katakan ini dengan rasa hormat yang tinggi, tetapi jelas bahawa tertuduh kuasai (dominates) Najib. Dia (Rosmah) ada kawalan terhadapnya (Najib).

"Dia tiada sebab untuk masuk campur dalam tugas Najib atau hal ehwal kerajaan, tetapi dia lakukannya," kata hakim.

11 catatan minit yang ditulis Najib

Pendakwaan mencadangkan suami Rosmah, iaitu Najib Razak, ketika itu sebagai perdana menteri, menulis 11 catatan minit di surat oleh Jepak yang akhirnya digunakan untuk mendapatkan projek tenaga solar.

Misalnya, pada 2015, Najib menulis "Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama" pada cadangan projek oleh Jepak Holdings.

Saidi menggunakan taktik ini beberapa kali lagi agar menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid memberi lampu hijau kepada cadangan Jepak Holdings bagi projek itu.

Walaupun Najib bukan individu utama dalam perbicaraan ini, isu yang timbul adalah jika dia mendapat manfaat daripada "sumbangan politik" oleh Saidi dan Rayaan ketika pertemuan pertama mereka dengan Rosmah pada 2016.

Rosmah bersama Abang Saidi

Menurut hakim, situasi seputar bagaimana wang ditawarkan, diberi dan diterima bertentangan dengan apa yang disifatkan sebagai sumbangan politik.

"Pertamanya, hakikat bahawa jumlah yang dijanjikan merupakan peratusan daripada nilai projek bermakna pembayaran adalah untuk manfaat tertuduh. Sumbangan biasanya melibatkan jumlah yang sudah ditetapkan

"Kedua, perihal kerahsiaan berhubung bagaimana bayaran dibuat. Dua pembayaran dibuat secara tunai dalam jumlah yang besar dan diberikan kepada tertuduh sendiri di kediamannya.

"Najib, selaku presiden Umno (ketika itu), tidak pernah ada ketika dua kali wang diberikan, dan itu sangat aneh jika mengambil kira ia adalah sumbangan untuk parti," katanya.

Perihal butler

Bantahan utama yang dibangkitkan pembelaan adalah pendakwaan sepatutnya memanggil butler Rosmah untuk mengesahkan keterangan saksi-saksi lain.

Mahkamah diberitahu dua bag yang berisi wang tunai RM5 juta untuk Rosmah diserahkan kepada butler selepas dihantar oleh Rizal di Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri - pada 20 Disember 2016.


Baca: Kronologi kes rasuah Rosmah


Rizal dalam keterangannya juga memberitahu dia mengarahkan butler membawa dua beg galas berisi wang RM1.5 juta ke bilik Rosmah di kediamannya di Kuala Lumpur pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua peristiwa ini, hakim berkata keterangan butler tidak perlu diambil memandangkan keterangan saksi lain sudah memadai.

"Akhirnya, bukan butler yang melakukannya," kata hakim.

Pendengaran ditangguh kerana Covid-19

Walaupun perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020 dan selesai pada 23 Februari 2022, perbicaraan hanya mengambil masa keseluruhan 42 hari.

Hakim berkata perbicaraan akan selesai lebih cepat jika bukan kerana perintah kawalan pergerakan dan penangguhan ekoran peguam dan saksi dijangkiti Covid-19.

"Mujurlah, akhirnya semua orang dalam keadaan sihat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS