mk-logo
Berita
Azalina letak jawatan sebagai penasihat khas PM
Diterbitkan:  Sep 1, 2022 6:54 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Ahli Parlimen Penggerang Azalina Said Othman telah meletakkan jawatannya sebagai penasihat khas perdana menteri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata hasrat meletak jawatan itu dalam satu surat bertarikh 29 Ogos lalu.

“Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob telah menerima peletakan jawatan beliau dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September,” kata kenyataan itu.

Ia juga menyebut perdana menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Semalam, Azalina dalam satu hantaran di Facebook menafikan laporan sebuah akhbar yang memetik sumber tanpa nama mendakwa dia telah meletak jawatan.

"Saya ingin mengesahkan bahawa setakat 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai penasihat undang-undang dan hak asasi manusia.

"Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Merdeka yang ke-65," tulis Azalina dalam catatan ringkas.

Azalina dilantik sebagai penasihat khas perdana menteri pada 2 Okt tahun lepas, kira-kira sebulan selepas meletak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Dia baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila pada majlis Taklimat Khas Presiden Umno di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur, Sabtu lalu, berkata bahawa sesiapa sahaja yang menjadi perdana menteri perlu melantik daripada “orang dia “untuk memudahkan urusan.

"Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya.

Walaupun, Azalina yang juga aahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak menyebut nama, namun para hadirin menjerit 'Ismail Sabri perlu tukar AG'.

Taklimat khas itu adalah solidariti kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini di penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hukuman 12 tahun penjara dalam kes SRC International.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno menuduh Ismail Sabri sebagai tidak bersungguh-sungguh dalam kes Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS