Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Mereka lakukannya agar kami sengsara'
Diterbitkan:  Sep 1, 2022 4:17 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Rosmah Mansor menitiskan air mata ketika memohon Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur agar bersikap belas ihsan terhadapnya setelah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Dalam keadaan teresak-esak dengan linangan air mata isteri bekas perdana menteri, Najib Razak itu berkata, dia tidak pernah meminta rasuah atau menyeleweng wang dari mana-mana pihak.

“Tolong jadi lebih belas ihsan, jadi lebih berperikemanusiaan. Jika ini boleh berlaku kepada saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau sesiapa sahaja pada masa hadapan.

“Mereka telah lakukannya (hukum) kepada suami saya agar kami menanggung sengsara.

“Kami sedang menanggung sengsara, anak-anak saya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita kini yang terpaksa memikul tugas seorang bapa. Tolong jadi lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid.

Begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Sambil mengakui dia amat sedih dengan keputusan hari ini tetapi menghormati penghakiman yang telah dibuat mahkamah itu.

Katanya lagi, dia sentiasa memberitahu peguamnya untuk hanya bercakap benar, seperti mana dia mengajar perkara yang sama kepada anak-anaknya., katanya lagi.

Peguam utamanya, Jagjit Singh dalam hujahannya untuk hukuman yang ringan berkata bahawa Rosmah telah melakukan apa yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana isteri perdana menteri sebelum ini, iaitu menubuhkan program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

Di berkata program itu adalah buah fikiran Rosmah dan diiktiraf di dalam dan luar negara atas peranannya dalam mendidik kanak-kanak.

Jagjit berkata pendakwaan telah bergantung kepada keterangan bekas pembantunya Rizal Mansor, yang didakwanya sebagai seorang yang mengaku dirinya korup dan menjadi saksi pendakwaan untuk menyelamatkan dirinya.

Menurut Jagjit merupakan kesalahan pertamanya dan kemudian mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram membantah dan memohon mahkamah memberi hukuman maksimum, atau hampir maksimum, terhadap Rosmah.

Dia berkata, hukuman maksimum bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.

Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

Dia juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM970 juta terhadap Rosmah.

Katanya lagi, jika Rosmah gagal membayar denda itu, hukuman penjara terhadapnya perlu ditambah 30 tahun lagi.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS