Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tolak PH: Rakan komponen tahu pendirian PAS, kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Sep 1, 2022 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

PAS yakin rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN) sedar pendirian parti itu yang tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU ke-15.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS telah menoktahkan pendiriannya berhubung perkara itu dan akan berunding dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) bersama PN.

"PAS dah buat keputusan takkan bekerjasama dengan PH, titik. Perundingan kita, lihat dalam kerangka MN bersama PN.

"...Pendirian PAS mengenai kerjasama dengan PH telah dikeluarkan oleh setiausaha agung. Jadi saya fikir rakan komponen tahu pendirian PAS," katanya dalam sidang media di Alor Setar, Kedah, hari ini.

Dua hari lalu, PAS menegaskan parti itu tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU ke-15 termasuk cadangan mewujudkan "khemah besar".

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap berpegang kepada konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin baru-baru yang membayangkan hasrat untuk bekerjasama dengan pembangkang.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, MN masih belum terkubur dan ia perlu dikekalkan demi kepentingan Islam.

"MN belum dibubar ya, bagi kita, kita perlu kekalkan platform ini kerana kepentingan Islam, dan kepentingan Melayu demi masa depan negara walaupun bukan dalam konteks politik.

"Jadi platform itu kena ada, dalam pilihan raya Umno buat keputusan dalam BN, kita pun sedia, kita terpaksa lawan, kita lawanlah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS