Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tak mungkin dalam kerajaan tanpa Bersatu - Tuan Ibrahim

Umno tidak mungkin akan berada dalam kerajaan jika tidak kerana Bersatu, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, apa juga muafakat politik yang ingin diadakan selepas ini, ia tidak boleh mengenepikan sahabat yang telah banyak berjasa sehingga meletakkan parti itu dalam kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata, Umno sewajarnya menghargai mereka yang telah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan kerajaan gabungan itu dibentuk.

"Apa jua muafakat politik kita tak boleh ketepikan rakan kita daripada Bersatu, tanpa mereka Umno pun tak mungkin berada dalam Kerajaan Persekutuan hari ini.

"Tak an bila kita tiba-tiba menang jadi kerajaan kita nak ketepikan sahabat kita.

"Kita berkawan waktu susah dan senang, dalam situasi yang gawat atau situasi yang tenang. Muafakat politik bukan sesuatu yang sementara tetapi menentukan hala tuju negara ke mana sebenarnya negara hendak di bawa kemana rakyat nak dibawa," katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS di Kedah, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

PAS sebelum ini adalah rakan komponen dalam Muafakat Nasional (MN) bersama sekutunya Umno.

Bagaimanapun parti itu memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) selepas Bersatu membentuk kerajaan gabungan bersama Umno, PAS dan GPS.

Malah PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor telah bertanding atas tiket PN.

Polemik kerjasama ini tercetus apabila Umno mendakwa Bersatu cuba menikam mereka dari belakang meskipun berada dalam satu kerajaan yang sama.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata rundingan agihan kerusi antara parti komponen PN telah berjalan lancar dengan baik.

Katanya, soal agihan kerusi akan dapat diselsai selepas beberapa siri perbincangan diadakan.

"Kita telah tubuh jawatankuasa perundingan kerusi sebagaimana yang disebut oleh Ketua Pemuda dan kini kita telah memulakan perbincangan.

"Alhamdulillah ruang yang sangat mudah, perbincangan yang sangat baik dan Muafakatnya sangat utuh.

“Kita yakin kita boleh selesai dalam dua tiga kali perundingan...soal (agihan) kerusi akan selesai," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS