Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muktamad, saya tidak bertanding di Johor- Rafizi
Diterbitkan:  Sep 1, 2022 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Spekulasi untuk melihat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjadi kenyataan.

Ini disahkan oleh dirinya sendiri yang menegaskan, pelantikannya sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor bukan bermakna dia perlu bertanding di negeri itu.

"Saya tidak akan bertanding di Johor, itu muktamad. Keputusan pimpinan pusat melantik saya sebagai Pengerusi MPN Johor untuk mengetuai PKR Johor, bukannya untuk bertanding,” katanya yang dipetik oleh portal BH Online.

Sebaliknya, dia berkata pelantikan itu bagi memudahkan PKR Pusat menyelaraskan kempen PRU15 memandangkan Johor adalah antara negeri tumpuan utama Pakatan Harapan (PH).

"Dalam kalangan pimpinan pusat, saya mempunyai rekod lebih lama bekerjasama dengan pimpinan dan cabang di negeri ini.

"Ini memudahkan kita menyelaraskan kempen PRU-15 dari peringkat pusat ke Johor," katanya.

Rafizi sebelum itu hadir pada mesyuarat MPN Johor di Ibu Pejabat PKR negeri, di Johor Bahaeu, malam semalam. Mesyuarat turut dihadiri Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini, wujud spekulasi bahawa bekas ahli parlimen Pandan itu akan bertanding di Johor selepas dilantik sebagai pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor pada 3 Ogos lalu.

Rafizi dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Johor Bahru atau Batu Pahat yang juga kubu kuat PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS